Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dalang video seks menteri sudah dikenal pasti

Dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri di Malaysia sudah dikenal pasti.

Anggaran Waktu Membaca:
Dalang video seks menteri sudah dikenal pasti

Ketua Polis negara Malaysia, Abdul Hamid Bador. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Jul 2019 01:18PM Dikemas Kini : 14 Jul 2019 01:22PM

KUALA LUMPUR: Dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri di Malaysia sudah dikenal pasti.

Ketua Polis negara itu, Abdul Hamid Bador, berkata demikian tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai dalang tersebut.

Encik Abdul Hamid berkata pihaknya mempunyai 'bayangan' dalang yang terlibat dalam kes itu dan sudahpun membuat beberapa penangkapan bagi membantu siasatan. Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam kes itu.

"Siasatan kes ini tertumpu kepada dua siasatan, iaitu kami menyiasat mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu, dan mereka yang menyebarkan video berkenaan.

"Dalam kes ini, kami kesan terdapat wujud konspirasi dan pakatan pihak tertentu dalam pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan seorang menteri, untuk menjatuhkan seseorang," katanya kepada para wartawan pada Sabtu (13 Jul).

Encik Abdul Hamid berkata pihaknya akan menahan semua yang terlibat, sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai dijalankan.

Buat masa ini, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada saksi berkaitan serta melakukan penangkapan ke atas mereka yang disyaki menyebarkan video berkenaan.

Petikan skrin dari video Facebook Haziq Aziz.

Baru-baru ini, media di Malaysia melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular di media sosial.

Pada 12 Jun lalu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video tersebut.

KERTAS SIASATAN HARUS DIKEMAS KINI

Sementara itu, Encik Abdul Hamid berkata kertas siasatan kes berkenaan perlu dikemas kini dan ditambah baik, dengan pasukan Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman yang menyiasat kes berkenaan terpaksa berulang alik ke Sandakan, Sabah dan ia memakan masa yang lama.

Menurut beliau, terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil dan diteliti terlebih dahulu sebelum kertas siasatan melibatkan individu yang terlibat dalam video seks itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Tindakan yang perlu diambil itu pun atas arahan daripada pihak pendakwa raya, sebab kita telah pun menghantar fail itu dua kali dan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara, dengan yang terakhir pada Khamis lalu (11 Jul).

"Pihak Jabatan Peguam Negara memberikan arahan-arahan tertentu untuk mendapatkan keterangan kes, maka kami dapatkan kenyataan daripada individu terlibat, terpaksa ke Sandakan," katanya.

Mengenai ketulenan video itu, Encik Abdul Hamid berkata video berkenaan sudah dihantar ke makmal untuk pengecaman dan ia memakan masa untuk mendapat keputusan. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan