Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Daging tikus hidangan popular di pasar ini

Tikus mungkin dianggap sebagai haiwan kecil yang menjijikkan. Namun tahukah anda bahawa haiwan yang kotor ini merupakan antara hidangan paling popular di sebuah pasar di bahagian timur laut India yang daya tarikannya adalah menjual daging tikus?

Anggaran Waktu Membaca:
Daging tikus hidangan popular di pasar ini

Daging tikus yang dipanggang antara hidangan yang dijual di pasar Kumarikata. (Gambar-Gambar: Biju Boro/AFP)

Diterbitkan : 31 Dec 2018 05:49PM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 06:01PM

KUMARIKATA, INDIA: Tikus mungkin dianggap sebagai haiwan kecil yang menjijikkan. Namun tahukah anda bahawa haiwan yang kotor ini merupakan antara hidangan paling popular di sebuah pasar di bahagian timur laut India yang daya tarikannya adalah menjual daging tikus?

Tikus - yang direbus sebelum bulu dan kulitnya disiat-siat dan kemudian dimasak dalam lauk-pauk pedas - lebih popular daripada daging ayam dalam kalangan para pengunjung yang melanggani pasar berkenaan, di perkampungan Kumarikata di wilayah Assam.

Di pasar itu, para pelanggan membeli beratus-ratus daging tikus yang baru sahaja ditangkap. Menurut para petani tempatan, haiwan itu ditangkap bagi mencegah sebarang kerosakan di ladang-ladang mereka yang terletak di sebuah wilayah yang bersempadan dengan Bhutan.

Daging tikus yang dipanggang turut dijual dan ia juga popular dalam kalangan pelanggan.

Bagi puak 'Adivasi' yang miskin dan terpaksa bekerja di ladang-ladang teh di wilayah Assam untuk menyara kehidupan, daging tikus merupakan sumber pendapatan yang lumayan untuk mereka.

Pada musim sejuk semasa tiada kegiatan memetik daun teh, puak Adivasi ini akan pergi ke sawah-sawah padi untuk memerangkap tikus yang kemudian dijual di pasar tersebut.

Daging tikus seberat sekilogram dijual pada harga sekitar AS$2.80 (S$3.85) - sama harga dengan daging ayam dan daging babi.

Menurut para petani, mereka menyaksikan jumlah tikus yang kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami memasang perangkap di sawah-sawah padi kerana tikus-tikus ini suka memakan padi para penduduk," kata Samba Soren, seorang penjual daging tikus di pasar Kumarikata kepada agensi berita AFP.

Tikus-tikus itu ditangkap pada sebelah malam semasa musim menuai, dengan perangkap yang diperbuat daripada buluh dipasang di sawah-sawah padi.

Sebilangan tikus yang ditangkap adalah seberat lebih satu kilogram. Menurut para penjual, mereka biasanya berjaya menangkap tikus-tikus dengan hasil tangkapan seberat antara 10 kilogram hingga 20 kilogram setiap malam. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan