Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Daging ternakan dijangkiti LSD tidak berbahaya dan boleh dimakan

Karkas atau daging daripada ternakan yang dijangkiti Penyakit Kulit Berketul (LSD) tidak berbahaya kerana LSD bukan penyakit zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia sama ada secara langsung atau melalui daging, jelas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia pada Ahad (27 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Daging ternakan dijangkiti LSD tidak berbahaya dan boleh dimakan

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 27 Jun 2021 03:19PM Dikemas Kini : 27 Jun 2021 03:20PM

PUTRAJAYA: Karkas atau daging daripada ternakan yang dijangkiti Penyakit Kulit Berketul (LSD) tidak berbahaya kerana LSD bukan penyakit zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia sama ada secara langsung atau melalui daging, jelas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia pada Ahad (27 Jun).

Menurut kenyataan jabatan itu, daging ternakan yang dijangkiti boleh dimakan setelah menjalani proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa veterinar atau setelah dimasak dengan sempurna kerana virus LSD akan musnah pada suhu 65 darjah Selsius selama 30 minit.

DVS menyatakan semua lembu atau kerbau dijangkiti LSD diwajibkan disembelih di rumah sembelih jabatan dan perlu melalui pemeriksaan veterinar oleh pemeriksa daging jabatan, sebagaimana peruntukan Kaedah-kaedah Pemeriksaan Daging 1985, bagi memastikan daging tersebut sesuai dijual serta dipasarkan sebagai makanan manusia. 

“Sekiranya terdapat lesi nodular pada karkas atau daging dan organ dalaman, maka daging akan dilupuskan sepenuhnya berdasarkan prosedur operasi standard Pelupusan Karkas Haiwan Berjangkit. Bagaimanapun, lesi penyakit LSD (nodular) kebiasaannya hanya terdapat pada lapisan kulit ternakan,” jelas DVS.

LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kalangan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang terjangkit. 

Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit ialah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan tubuh lembu.

DVS menambah ia juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan meningkatkan pemantauan ke atas semua daging di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan. Ini termasuk sekiranya terdapat daging di pasaran yang berpenyakit dan tidak disembelih di rumah sembelih di bawah jabatan itu.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan