Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dada budak perempuan 'ditekap' batu panas kononnya elak jadi mangsa serangan seksual

Dalam masyarakat Afrika, dada kanak-kanak perempuan akan berulang kali ditekap dengan batu panas bagi melambatkan pembentukan payu dara. Kini, perkara mengerikan itu didapati turut dilakukan di Britain.

Anggaran Waktu Membaca:
Dada budak perempuan 'ditekap' batu panas kononnya elak jadi mangsa serangan seksual

Batu yang digunakan dalam proses menyakitkan terhadap para mangsa. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 10 Feb 2019 01:18AM Dikemas Kini : 10 Feb 2019 01:24AM

BRITAIN: Dalam masyarakat Afrika, dada kanak-kanak perempuan akan berulang kali ditekap dengan batu panas bagi melambatkan pembentukan payu dara. Kini, perkara mengerikan itu didapati turut dilakukan di Britain.

The Guardian dalam laporan khasnya menyatakan terdapat beberapa kes yang berjaya dibongkar.

Para pekerja sosial di London, Yorkshire, Essex dan West Midlands memberitahu The Guardian tentang beberapa kes yang mana kanak-kanak perempuan dari diaspora beberapa negara Afrika menanggung penderitaan disebabkan amalan itu.

Margaret Nyuydzewira, seorang ketua kumpulan kebajikan, Cawogido, menganggarkan sekurang-kurangnya 1,000 wanita dan budak perempuan di Britain melalui pengalaman tidak berperikemanusiaan itu. Bagaimapanapun, tiada kajian rasmi mahupun data bagi menyokong anggaran tersebut.

"Ia lazimnya dilakukan di Britain, tidak seperti di negara lain yang mana organ wanita dibuang," katanya, sambil menggambarkan bagaimana perbuatan itu dilakukan. Seorang ibu, mak cik atau nenek kepada kanak-kanak perempuan selalunya akan menggunakan batu panas dan berulang-kali menekapnya pada bahagian dada untuk "memecahkan tisu dan melambatkan pertumbuhan (payu dara)".

Dalam istilah bahasa Inggeris, amalan itu dipanggil 'breast ironing' kerana objek panas digunakan seperti seterika pada tubuh kanak-kanak perempuan.

"Kadangkala mereka lakukannya seminggu sekali, atau dua kali seminggu, bergantung kepada tumbesaran kanak-kanak itu," tambahnya.

Pelaku - biasanya golongan ibu - menganggap tradisi itu sebagai cara untuk melindungi anak-anak perempuan mereka daripada menjadi perhatian lelaki, dirogol atau diserang secara seksual. Pakar-pakar perubatan dan para mangsa bagaimanapun menganggapnya sebagai satu bentuk penganiayaan. Mangsa berisiko mengalami kecacatan dan barah payu dara.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan tindakan itu sebagai salah satu daripada lima jenayah yang paling tidak dilaporkan secara meluas, berkaitan dengan kekerasan terhadap kaum wanita.

Seorang aktivis yang ditemui The Guardian, Dr Leyla Hussein, berkata beliau bertemu dengan lima mangsa seumpama itu di kliniknya di utara London.

"Mereka semuanya wanita Britain, semua rakyat tempatan," kata Dr Leyla. Beliau juga seorang ahli psikoterapi. Salah seorang daripada pesakitnya mengadu dirinya seperti seorang lelaki kerana tidak mempunyai payu dara.

"Tetapi tiada yang bertanya dengannya tentang apa yang berlaku. Tiada siapa yang memeriksanya. Ini berlaku di utara London," tambah Dr Leyla.

Polis menyatakan ia tidak menerima sebarang aduan berkaitan kes seperti itu di Britain, tetapi ia mengesyaki ia masih berleluasa.

Pemerintah tempatan menyatakan ia "benar-benar komited" untuk membanteras jenayah itu. Namun, para aktivis menyatakan tiada tindakan yang diambil sejauh ini.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan