Images
  • masjid asy
    Insiden berlaku di Masjid As Syakirin, Puchong. (Gambar: Google Maps)

Curi kasut di masjid, pengawal keselamatan didenda RM1,000

PETALING JAYA: Akibat mencuri sepasang kasut di masjid, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman denda RM1,000 (S$320) atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Unazri Mohamad, 36 tahun, selepas dia mengaku bersalah mencuri sepasang kasut jenama 'K2 Safety' milik Encik Mohd Mokhtar Saad, 32, yang berharga RM100 (S$32).

Mengikut fakta kes, Encik Mohd Mokhtar yang ketika itu baru selesai menunaikan solat Asar, keluar dari masjid dan terus mencari kasutnya untuk dipakai. Namun, beliau tidak berhasil menemui kasutnya dan sebaliknya ternampak tertuduh sedang memakai kasut miliknya di pekarangan masjid tersebut.

Tertuduh kemudian melarikan diri sebelum dikejar pengadu yang akhirnya menelefon pihak polis.

Bapa tunggal dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Masjid As Syakirin, Puchong, pada jam 4.40 petang 14 Dis lalu.

Awal dari itu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Ng Kee Way merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya kini tidak lagi bekerja dan kasut yang diambilnya sudah dipulangkan kepada pengadu. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top