Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cuba pertingkat khidmat sedia ada bukan HSR saja, kata Dr Mahathir

Kereta Api Laju (HSR) bukan projek yang ‘benar-benar perlu’ bagi Malaysia buat masa ini memandangkan ia hanya menghubungkan Singapura dengan Malaysia, kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Cuba pertingkat khidmat sedia ada bukan HSR saja, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad di acara Technomart Rail 2019 pada 16 April 2019. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 16 Apr 2019 06:21PM Dikemas Kini : 16 Apr 2019 06:23PM

PUTRAJAYA: Kereta Api Laju (HSR) bukan projek yang ‘benar-benar perlu’ bagi Malaysia buat masa ini memandangkan ia hanya menghubungkan Singapura dengan Malaysia, kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, beliau berkata tumpuan Malaysia kini adalah usaha mempertingkat mutu perkhidmatan kereta api sedia ada.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia mungkin perlu membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi kelak bagi laluan Johor Bahru-Pulau Pinang atau ke sempadan Thailand.

“Kita tidak akan membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi buat masa ini sebaliknya, kita mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh sistem tren (kereta api) kita dan ia sedikt sebanyak telah dilaksanakan iaitu landasan berkembar dan elektrik,” kata Dr Mahathir semasa sesi soal jawab selepas berucap di pameran Technomart Rail 2019 pada Selasa (16 Apr).

Dr Mahathir berkata projek HSR tidak memberi manfaat sekiranya perjalanannya hanya 30 minit lebih pantas kerana pengguna juga mengambil masa untuk pergi ke stesen kereta api.

“Sekiranya kepanjangan landasan memuaskan serta dapat menjimatkan dua hingga enam jam, jadi saya berpendapat projek kereta api berkelajuan tinggi adalah jawapannya (boleh dilaksanakan),” kata beliau.

Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura digantung pada September tahun lalu sehingga akhir Mei 2020 menyusuli pemeteraian perjanjian tambahan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali dengan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan.

Ketika ditanya wartawan sama ada kerajaan berunding dengan Singapura untuk melaksanakan projek HSR selepas tempoh itu, Dr Mahathir berkata: “Buat masa ini, kita tidak akan membangunkannya."

"Kita telah memohon tempoh dua tahun sebelum kita merundingkan semula HSR. Pada masa ini, kerajaan tidak menawarkan sebarang kontrak namun kita perlu membayar pampasan kepada Singapura kemudian," jelas Dr Mahathir.

Apabila ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan beberapa bentuk pengurangan cukai ke atas industri kereta api, beliau berkata kerajaan akan meneliti perkara itu dan mungkin mengubah sistem cukai tersebut.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan