Images
  • politi
    Seorang remaja terpaksa menghubungi polis bagi meminta bantuan selepas terperangkap dalam kereta yang cuba dicuri. (Gambar: Politiet i Trøndelag/Twitter)

Cuba curi kereta tapi terpaksa minta bantuan polis selepas terperangkap

COPENHAGEN: Polis Norway memberkas seorang pencuri kereta selepas diberitahu bahawa jenayah itu sedang berlaku... oleh si pencuri itu sendiri!

Dalam insiden lucu ini, suspek berusia 17 tahun itu terpaksa menghubungi polis untuk meminta bantuan dan mengaku dia terperangkap di dalam sebuah kereta yang cuba dicurinya di bandar Trondheim, menurut laporan The Guardian.

Ebbe Kimo, Pengurus Operasi pasukan Trøndelag di bahagian tengah Norway, memberitahu stesen penyiar NRK bahawa suspek berkenaan "menghubungi kami sebelum pukul 8.00 pagi sehari sebelum Krismas dari sebuah kenderaan yang dia cuba memasukinys. Namun, dia tidak boleh membuka pintu kereta tersebut. Remaja itu mengenali kami dan nampaknya dia berpendapat adalah OK untuk meminta bantuan kami... seperti menghubungi seorang teman bagi mendapatkan bantuan."

Remaja itu memasuki sebuah kereta Volvo yang diletakkan di luar syarikat niaga kenderaan. Yang lebih lucu lagi, Encik Kimo menarik perhatian bahawa jenayah itu berlaku berhampiran dengan sebuah penjara di bandar tersebut.

Menurut laporan The Newsweek, si pencuri berjaya memasuki kenderaan itu tanpa menyebabkan sebarang kerosakan. Bagaimanapun, dia terperangkap di dalam kenderaan itu akibat sistem mengunci yang dipasang pada kereta tersebut.

"Dia kelihatan agak tertekan dan terdesak apabila menghubungi kami, dan saya rasa dia merasa lega apabila kami tiba di sana," kata Encik Kimo kepada saluran televisyen TV2.

Pegawai polis itu menerangkan bahawa polis tempatan mengenali remaja lelaki itu kerana dia sebelum ini pernah ditangkap kerana melakukan beberapa kesalahan.

Encik Kimo menambah lelaki itu "bukan seorang pencuri kereta yang bijak," sambil menarik perhatian bahawa lelaki berkenaan pernah mencuri kenderaan sebelum ini "tetapi sekurang-kurangnya dia dapat keluar dari kereta yang cuba dicuri."

Encik Kimo memberitahu akhbar VG bahawa polis segera memberi bantuan setelah menerima panggilan tersebut. Para pegawai polis membantu remaja lelaki itu keluar dari kereta tersebut sebelum menyoal siasatnya. Remaja itu kemudian dibebaskan dan dibenarkan pulang untuk "menyambut Krismas bersama keluarganya". 

- Agensi berita/AI/ai

Top