Images
  • covid-19 testing china
    (Gambar: AFP)

COVID-19: Tiada kes baru di China buat pertama kali sejak permulaan pandemik

BEIJING: China mencatat tiada kes baru COVID-19 di tanah besar pada 22 Mei. Ini merupakan kali pertama ia menyaksikan tiada peningkatan harian sejak wabak itu bermula di bandar Wuhan lewat tahun lalu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) mengumumkan dalam satu kenyataan pada Sabtu (23 Mei) bahawa berbanding hari sebelumnya, empat kes baru dilaporkan. Meskipun demikian, menurutnya, ada dua kes baru yang disyaki: Satu kes import di Shanghai dan satu kes tempatan di wilayah bahagian timur laut Jilin.

Kes baru COVID-19 tanpa gejala merosot kepada 28 dari 35 pada sehari sebelumnya, menurut NHC.

China telah menyaksikan kemerosotan mendadak dalam jumlah kes tempatan sejak Mac setelah sekatan pergerakan besar-besaran membantunya menangani wabak di banyak kawasan di negara itu.

Namun, ia terus menyaksikan kes-kes diimport, terutamanya melibatkan warga China yang pulang dari luar negeri, manakala kelompok jangkitan baru di wilayah sempadan timur laut Jilin dan Heilongjiang muncul sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Angka korban rasmi di negara yang mempunyai 1.4 penduduk itu berjumlah 4,634 orang, jauh lebih rendah berbanding kematian di sebahagian negara yang jauh lebih kecil.

Namun, keraguan timbul tentang sama ada perangkaan yang didedahkan China boleh dipercayai. Amerika Syarikat pula mengetuai negara-negara lain dalam mempertikaikan sebanyak mana maklumat yang dikongsi oleh Beijing dengan masyarakat antarabangsa.

Sejak pertama kali muncul di Wuhan virus itu sudah menular ke seluruh dunia, meragut lebih 335,000 nyawa di seluruh dunia.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- Reuters/AFP/tq

Top