Images
  • thailand mask virus korona covid-19
    (Gambar: REUTERS/Stringer)

COVID-19: Thailand saran lanjut perintah darurat sebulan lagi hingga 30 Jun

BANGKOK: Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC)pada Khamis (21 Mei) mencadangkan untuk melanjutkan tempoh perintah darurat sehingga 30 Jun untuk mengekang pandemik COVID-19 secara berkesan di negara itu.

Ketika Thailand terus mencatatkan bilangan yang rendah bagi kes baru COVID-19, Setiausaha Agung NSC Jen Somsak Rungsita berkata langkah itu perlu untuk menghalang gelombang kedua wabak berkenaan di Thailand yang merekodkan 3,307 kes COVID-19 dengan 56 kematian, sejak penularan wabak maut itu pada Januari.

Jen Somsak yang mempengerusikan mesyuarat mengenai pelonggaran sekatan dan langkah-langkah COVID-19 berkata jawatankuasa itu mencadangkan untuk melanjutkan perintah darurat yang akan berakhir pada 31 Mei sehingga sebulan lagi.

“Situasi COVID-19 di Thailand telah bertambah baik bagaimanapun keadaan di seluruh dunia masih membimbangkan kerana bilangan kes yang disahkan terus meningkat.

“Untuk menghalang gelombang kedua penularan pandemik COVID-19, fasa ketiga dan keempat pelonggaran sekatan dan langkah-langkah pada Jun akan lebih baik membendung wabak itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thailand kali pertama mengisytiharkan perintah darurat pada 26 Mac hingga 30 April kemudian melanjutkan tempoh itu sehingga 31 Mei untuk memerangi pandemik COVID-19.

Negara ini memulakan fasa pertama pelonggaran sekatan pada 3 Mei melibatkan enam jenis perniagaan dan tempat dibuka semula manakala fasa kedua bermula 17 Mei.

Thailand melaporkan tiga kes baru COVID-19 dan sifar kematian sepanjang 24 jam Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan kes 3,037 dengan jumlah kematian kekal 56.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERNAMA/SU/tq

Top