Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: Penggunaan katil ICU di M'sia cecah 104%

Penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 di Unit Jagaan Rapi (ICU) hospital Kementerian Kesihatan Malaysia seluruh negara mencecah 104 peratus, Ahad lepas (6 Jun) menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Penggunaan katil ICU di M'sia cecah 104%

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Jun 2021 07:41AM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 07:44AM

KUALA LUMPUR: Penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 di Unit Jagaan Rapi (ICU) hospital Kementerian Kesihatan Malaysia seluruh negara mencecah 104 peratus, Ahad lepas (6 Jun) menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ia meningkat daripada 96 peratus pada 24 Mei lepas.

Menurutnya kadar penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan dan lantaran itu tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal kini dapat ditempatkan di ICU.

“Bagaimanapun kadar penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 bukan ICU di hospital menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu, iaitu daripada 99 peratus kepada 89 peratus.

Begitu juga dengan kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) adalah sebanyak 54 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa (8 Jun).

KES COVID-19 BERGEJALA SERIUS MENINGKAT

Menurut Dr Noor Hisham, hospital seluruh negara juga berdepan dengan peningkatan dalam kes COVID-19 bergejala serius kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

Katanya pesakit berkenaan memerlukan tempoh yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan COVID-19.

Statistik yang diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori empat adalah antara 14 hingga ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori lima pula, tempoh rawatan adalah selama 19 hingga 26 hari.

“Bahaya penularan COVID-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) bagi menampung kes-kes COVID-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekali pun.

Situasi ini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa ini,” katanya.

HAMPIR 83,000 KES MASIH SEDANG DIRAWAT

Dr Noor Hisham berkata statistik juga menunjukkan jumlah kes positif COVID-19 pada minggu epidemiologi (ME) ke-22 menurun 2.6 peratus atau 1,379 kes berbanding minggu sebelumnya, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Namun begitu, dalam tempoh sama iaitu dari 30 Mei hingga 5 Jun, jumlah kes aktif didapati terus meningkat berikutan peningkatan kes mendadak pada ME ke-20 dan ME ke-21.

“Pada awal ME ke-21, jumlah kes aktif adalah sebanyak 57,022 kes dan pada awal ME ke-22 ia meningkat kepada 78,017 dengan peningkatan kes sebanyak 20,995 kes atau 37 peratus,” katanya.

Menurutnya pada Selasa (8 Jun), jumlah kes aktif COVID-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah sebanyak 82,797 kes. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan