Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: Operasi premis perniagaan di Johor, Perak, Negeri Sembilan dipendekkan

Kerajaan negeri Johor mengumumkan tempoh operasi premis perniagaan dipendekkan mulai hari ini (23 Feb)bermula 7.00 pagi sehingga 7.00 malam bagi membantu kelancaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Operasi premis perniagaan di Johor, Perak, Negeri Sembilan dipendekkan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Mar 2020 03:25PM Dikemas Kini : 23 Mar 2020 03:26PM

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengumumkan tempoh operasi premis perniagaan dipendekkan mulai hari ini (23 Feb)bermula 7.00 pagi sehingga 7.00 malam bagi membantu kelancaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu membuat ketetapan tempoh operasi perniagaan di kawasan masing-masing.

Menurut beliau, sebagai panduan, tempoh operasi bermula 7.00 pagi sehingga 7.00 malam itu melibatkan premis perniagaan kedai makan, kedai runcit, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam.

Pasar raya juga diarah tutup pada 7.00 malam sementara pasar malam, pasar tani dan pasar pagi tidak dibenarkan beroperasi.

“Peniaga dan orang ramai diminta merujuk kepada arahan PBT di kawasan masing-masing bagi waktu operasi yang akan digunakan,” kata beliau menerusi siaran langsung dalam laman Facebook Darul Ta’zim hari ini.

“Dengan penguatkuasaan had waktu operasi perniagaan yang telah dilaksanakan ini, diharap semua warga Johor dapat mematuhi arahan PKP dan sentiasa berada di rumah,” ujarnya.

PERAK LAKSANAKAN LANGKAH SERUPA

Selain Johor, Perak juga mengarahkan
semua premis kedai makan termasuk yang menyediakan perkhidmatan pandu lalu di seluruh negeri untuk beroperasi mulai 7.00 pagi hingga 7.00 malam sahaja bermula hari ini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata arahan sama turut terpakai kepada semua kedai runcit, kedai serbaneka termasuk yang beroperasi 24 jam serta stesen minyak. 

Beliau mengumumkan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Encik Ahmad Faizal berkata hanya premis dan perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh beroperasi manakala yang lain perlu menutup operasi masing-masing. 

Arahan itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Mac atau sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, yang dilaksanakan sejak 18 Mac, ditarik balik. 

"Semua agensi diminta memberi kerjasama dan sokongan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri," kata beliau sambil memberitahu pelibatan agensi komunikasi di Perak juga dipergiatkan dan memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran masyarakat di negeri itu.

Beliau turut meminta mana-mana pihak, yang ingin menyumbang barangan keperluan seperti pelitup muka serta makanan kepada para petugas dan anggota keselamatan, supaya menyalurkannya menerusi Pejabat-pejabat Daerah atau balai polis berhampiran. 

Pada masa sama, Menteri Besar Perak juga merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang mematuhi arahan pihak berkuasa dalam menangani COVID-19.

Setakat 12 tengah hari Ahad (22 Mac), 66 kes positif COVID-19 dicatatkan di Perak. 

NEGERI SEMBILAN KUAT KUASA OPERASI LEBIH PENDEK MULAI 24 MAC

Sementara itu, Negeri Sembilan pula akan menguatkuasakan masa operasi lebih pendek mulai Selasa (24 Mac). Semua premis makan, restoran, gerai makan tepi jalan dan perniagaan kenderaan saji di Negeri Sembilan hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi sehingga 8.00 malam berkuat kuasa esok sehingga 31 Mac depan.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata turut dihadkan operasi perniagaan adalah semua pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka termasuk yang beroperasi 24 jam.

“Semua stesen minyak, termasuk kedai serbaneka di dalam stesen itu dibenarkan beroperasi dari pukul 6.00 pagi hingga 8.00 malam manakala semua pasar awam dibenarkan beroperasi mulai pukul 6.00 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Semua pasar malam, pasar tani dan dan pasar pagi tidak dibenarkan beroperasi. Penyelarasan jadual operasi premis perniagaan ini berkuatkuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan pada Ahad (22 Mac).

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddn Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP bermula 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan COVID-19.

Sementara itu, Aminuddin berkata peruntukan RM100,000 (S$32,800) yang diterima daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah di semua daerah di negeri ini akan diagih dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi peruntukan tambahan khas RM100,000 sebagai bantuan kepada petugas dan keperluan lain semasa penularan COVID-19 ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap semua rakyat di negeri ini memberikan kerjasama dengan mengikut segala arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan