Images
  • msia covid (1)
    Kakitangan perubatan membuat ujian COVID-19 ke atas seorang lelaki di pusat ujian pandu lalu di Shah Alam, Malaysia, pada 20 April 2020. (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

COVID-19: M'sia catat 50 kes baru, tiada kematian

KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 kes baru diumumkan di Malaysia hari ini (22 Mei), menjadikan jumlah kumulatif di negara itu kepada 7,059.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,149 kes. 

Daripada 50 kes baru itu, tiga adalah kes import sementara 47 kes penularan tempatan.

Dalam pada itu, semakin ramai pesakit COVID-19 sembuh dan setakat ini, seramai 5,796 orang atau 82.11 peratus daripada 7,059 orang pesakit COVID-19 discaj dan tiada kematian dicatat untuk dua hari berturut-turut.

Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis (21 Mei), 90 orang lagi pesakit COVID-19 discaj dari wad iaitu jumlah tertinggi direkod untuk minggu ini. 

Dr Noor Hisham memberitahu sidang media harian COVID-19 semalam, 41 kes daripada 47 kes penularan tempatan melibatkan bukan warganegara Malaysia termasuk 34 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mereka dilaporkan berada dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. 

Kluster baru DTI Bukit Jalil dilaporkan terdiri daripada warga Myanmar, India, Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir.

Setakat ini, sebanyak 10 kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERNAMA/SU/tq

Top