Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19 lebih berisiko akibatkan darah beku pada otak berbanding vaksin

Terdapat risiko lebih tinggi berlakunya pembekuan darah dalam otak akibat jangkitan COVID-19, berbanding risiko sedemikian yang terbit dari vaksin penyakit itu, menurut penyelidik Britain pada Khamis (15 Apr) menyusuli gangguan program vaksinasi akibat laporan pembekuan darah yang jarang berlaku.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19 lebih berisiko akibatkan darah beku pada otak berbanding vaksin

Gambar hiasan botol dengan label 'vaksin COVID-19' dan jenama Johnson & Johnson (Gambar: REUTERS/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 17 Apr 2021 12:32AM Dikemas Kini : 17 Apr 2021 12:34AM

LONDON: Terdapat risiko lebih tinggi berlakunya pembekuan darah dalam otak akibat jangkitan COVID-19, berbanding risiko sedemikian yang terbit dari vaksin penyakit itu. Demikian menurut penyelidik Britain pada Khamis (15 Apr) menyusuli gangguan program vaksinasi akibat laporan pembekuan darah yang jarang berlaku.

AstraZeneca dan Johnson & Johnson kedua-duanya menyaksikan laporan trombosis sinus vena serebral (CVST) yang sangat jarang berlaku yang dikaitkan dengan vaksin syarikat-syarikat itu. Pada Rabu, Amerika Syarikat menghentikan vaksinasi menggunakan suntikan J&J sedang kaitannya dengan pembekuan darah disiasat, manakala Denmark mengetepikan suntikan AstraZeneca akibat isu ini.

Pengawal selia Britain dan Eropah menekankan bahawa manfaat vaksinasi melebihi risikonya.

Kajian terhadap 500,000 pesakit COVID-19 mendapati CVST berlaku pada kadar 39 orang daripada sejuta setelah jangkitan COVID-19, kata para penyelidik. Ini berbanding dengan perangkaan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) yang menunjukkan bahawa lima daripada sejuta orang melaporkan CVST setelah mendapat suntikan AstraZeneca.

Para penyelidik berkata dalam kajian yang belum dicetak bahawa risiko CVST adalah 8-10 kali lebih tinggi berikutan jangkitan COVID-19 berbanding dengan vaksin sedia ada untuk penyakit itu.

"Risiko mengalami (CVST) setelah COVID-19 nampaknya jauh lebih tinggi dan ketara daripada risiko setelah menerima vaksin Oxford-AstraZeneca," kata Dr Maxime Taquet dari Jabatan Psikiatri Oxford kepada para wartawan.

Penyelidikan tersebut dibuat berdasarkan pangkalan data kesihatan Amerika Syarikat, maka itu ia tidak mengumpulkan data baru mengenai risiko pembekuan akibat vaksin AstraZeneca secara langsung, kerana suntikan tersebut tidak diagihkan di sana.

Dr Taquet berkata bahawa kadar kematian akibat CVST adalah sekitar 20 peratus sama ada ia berlaku selepas jangkitan COVID-19 atau vaksin, yang menunjukkan pembekuan adalah faktor risiko utama.

Para penyelidik menarik perhatian bahawa COVID-19 dikaitkan dengan gangguan pembekuan yang lebih lazim daripada CVST, seperti angin ahmar, dan bahawa perbahasan baru-baru ini mengenai vaksin melupakan betapa dahsyat penyakit COVID sebenarnya.

"Penemuan ini pentingnya kerana ia mengingatkan kepada hakikat bahawa (COVID-19) adalah penyakit yang sangat mengerikan kerana terdapat pelbagai kesan termasuk peningkatan risiko (CVST)," kata Dr John Geddes, pengarah Institut Penyelidikan Kesihatan Nasional Pusat Penyelidikan Bioperubatan Kesihatan Oxford.

Pasukan penyelidik, dari Universiti Oxford, mengatakan mereka bekerja secara bebas daripada pasukan vaksin Oxford yang mengembangkan suntikan AstraZeneca.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan