Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: Kes baru kekal lebih 2,000, M'sia belum masuki gelombang keempat jangkitan

Kes baru COVID-19 di Malaysia kekal di atas paras 2,000 apabila 2,331 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 372,859 kes.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Kes baru kekal lebih 2,000, M'sia belum masuki gelombang keempat jangkitan

Kakitangan kesihatan kendalikan ujian COVID-19 di Shah Alam, Malaysia pada 17 Feb 2020 (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Apr 2021 06:12PM Dikemas Kini : 17 Apr 2021 06:14PM

KUALA LUMPUR:  Kes baru COVID-19 di Malaysia kekal di atas paras 2,000 apabila 2,331 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 372,859 kes.

Jumlah kes harian itu turun sedikit berbanding 2,551 kes pada Jumaat (16 Apr).

Menurut twitter Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor menjadi negeri dengan kes baru tertinggi hari ini dengan 751 kes, diikuti Sarawak (512) dan Kuala Lumpur (252).

Sejumlah 225 kes direkod di Kelantan, Sabah (163), Pulau Pinang (116), Johor (100), Negeri Sembilan (89), Kedah (45), Perak (42) dan Pahang (20).

Melaka pula mencatat sembilan kes, Putrajaya (empat), Labuan (dua) dan Perlis (satu) manakala tiada kes baru di Terengganu dalam tempoh 24 jam lepas.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Malaysia Dr Adham Baba berkata negara itu masih lagi mengharungi gelombang ketiga COVID-19 dan belum memasuki gelombang keempat penularan pandemik tersebut.

Beliau menjelaskan sesuatu penularan hanya dianggap gelombang seterusnya jika jangkitan tempatan ketika gelombang semasa sudah mendatar atau mencatat kes sifar selama beberapa hari sebelum berlaku peningkatan kes baru secara mendadak. 

"Saya dapati sejak tiga minggu kebelakangan ini kes yang kita rekodkan (dalam gelombang ketiga) tidak menurun. 

"Gelombang keempat COVID-19 hanya boleh berlaku sekiranya gelombang ketiga telah sampai (dapat diturunkan) ke 'baseline' atau direkodkan hingga sifar dan kemudian ia (penularan) bermula semula," katanya ketika ditemui Bernama di Surau As-Syakirin, Taman Sri Saujana, di sini hari ini (17 Apr).

Dr Adham berkata Malaysia boleh mengalami gelombang keempat COVID-19 sekiranya berlaku kemerosotan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang ramai sehingga wujud kluster baru.

"Antara faktor menyebabkan kes meningkat ketika ini, kita lihat terdapat aktiviti pada awal April lepas seperti majlis perkahwinan, perjumpaan, keramaian termasuk mobilisasi menghantar anak pulang merentas negeri, antaranya ke sekolah dan universiti," katanya. 

Malaysia mengalami gelombang ketiga COVID-19 pada September tahun lepas dengan kes harian meningkat kepada empat angka bermula 24 Okt, iaitu sebanyak 1,228 kes.

Sementara itu, ketika mengulas kebimbangan peningkatan kes susulan kegagalan pematuhan SOP di bazar Ramadan, Dr Adham berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberi kuasa untuk mengenakan kompaun kepada yang melanggar SOP.

“Saya harap kompaun ini bukan menghukum tetapi mendidik orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan itu kerana kita tahu bazar Ramadan ialah punca pendapatan peniaga kecil. Mereka sudah lama tidak dapat berniaga, jika kita sekat ia akan menyebabkan ekonomi (mereka) terkesan,” katanya yang mahu pemantauan di bazar Ramadan ditingkatkan.

Pada masa sama, Dr Adham menggesa orang ramai berganding bahu melindungi diri dan masyarakat selain memperkasa komuniti menerusi ABC-19 (ejen basmi COVID-19) yang merupakan inisiatif terkini kerajaan dalam memastikan masyarakat terhindar daripada jangkitan virus itu.

Sumber : Bernama/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan