Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: Indonesia catat hampir 9,000 kes, tertinggi sejak 23 Feb

Jumlah kes koronavirus melonjak dengan mendadak di Jawa dan Sumatera, tiga minggu setelah cuti Aidilfitri, apabila jutaan orang merentas negara, mengabaikan larangan perjalanan sementara. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Indonesia catat hampir 9,000 kes, tertinggi sejak 23 Feb

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 10 Jun 2021 08:50PM Dikemas Kini : 10 Jun 2021 08:53PM

JAKARTA: Indonesia melaporkan 8,892 jangkitan baru COVID-19 pada Khamis (10 Jun), jumlah tertinggi sejak 23 Februari. Negara itu telah melaporkan hampir 1.9 juta kes secara keseluruhannya.

Pasukan bertindak COVID-19 Indonesia juga melaporkan 211 kematian pada Khamis, menjadikan angka korban keseluruhan kepada 52,373.

Lonjakan kes koronavirus di dua pulau paling padat di Indonesia membuat pakar kesihatan bimbang keadaan akan terus memburuk, dengan sekatan pergerakan hampir tidak wujud ketika varian berbahaya menyebabkan kadar kematian tinggi di negara-negara lain Asia Tenggara.

Jumlah kes melonjak dengan mendadak di Jawa dan Sumatera tiga minggu setelah cuti Aidilfitri, apabila jutaan orang merentas negara, mengabaikan larangan perjalanan sementara.

Di Kudus, Jawa tengah, di mana bantuan tambahan kesihatan telah dikerah, jumlah jangkitan melonjak 7,594 peratus menurut Wiku Adisasmito dari pasukan bertindak COVID-19 Indonesia. Kapasiti hospital telah mencecah 90 peratus di sana, lapor media tempatan.

Defriman Djafri, seorang pakar epidemiologi dari Universiti Andalas di Padang, berkata kematian di Sumatera Barat pada Mei adalah yang paling banyak pernah dicatatkan.

Di Riau, Sumatera, kes harian meningkat seganda dari awal April kepada lebih 800 pada pertengahan Mei, sementara kadar positif jangkitan adalah 35.8 peratus minggu lalu, kata Wildan Asfan Hasibuan, penasihat pasukan petugas epidemiologi dan wilayah.

Menurut Encik Wildan lonjakan kes itu ada kaitan dengan perjalanan yang meningkat dan kemungkinan penyebaran varian baru koronavirus.

Kesan varian yang membimbangkan sukar ditentukan di Indonesia, yang mempunyai keupayaan penjujukan genom yang terhad.

Ia juga kurang kemampuan menjalankan ujian dan pengesanan kontak serta program imunisasi yang berjalan perlahan. Sejauh ini, hanya satu daripada setiap 18 orang yang disasarkan untuk divaksinasi sepenuhnya sudah menerima suntikan vaksin mereka.

Kajian terbaru juga menunjukkan jumlah sebenar kes jangkitan mungkin jauh lebih tinggi daripada hampir 1.9 juta yang dilaporkan, antara jumlah kes tertinggi di Asia.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan