Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: China haramkan dagangan, makan hidupan liar

China mengharamkan serta merta perdagangan dan amalan memakan hidupan liar, dalam usaha terbaru mengekang penularan virus korona COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: China haramkan dagangan, makan hidupan liar

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 25 Feb 2020 06:06PM Dikemas Kini : 25 Feb 2020 06:22PM

HONG KONG: China mengharamkan serta merta perdagangan dan amalan memakan hidupan liar, dalam usaha terbaru mengekang penularan virus korona COVID-19.

Agensi berita Xinhua melaporkan, undang-undang baru itu menggantikan arahan awal menggantung sementara perdagangan dan amalan memakan hidupan liar, yang dikeluarkan Januari lalu.

Para saintis mengesyaki, tetapi belum dapat membuktikan bahawa virus korona baru COVID-19, menjangkiti manusia dari haiwan.

Penyakit yang disyaki berpunca daripada hidupan liar di pasar Wuhan, China, sudah mengorbankan hampir 2,700 orang di China dan merebak ke lebih 30 negara lain.

Antara punca jangkitan awal dikesan dalam kalangan mereka yang terdedah kepada hidupan liar seperti kelawar, ular dan musang yang dijual di pasar tersebut.

"Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai amalan memakan daging hidupan liar dan bahaya tersembunyi kepada kesihatan awam sejak kepada penularan COVID-19," kata jurucakap Suruhanjaya Hal Ehwal Penggubal Undang-Undang China, Zhang Tiewei.

Beliau berkata, walaupun tidak dapat dibuktikan, menjadi satu kemestian yang perlu disegerakan bagi membendung jangkitan dan mengekang penularan virus ini secara berkesan.

Keputusan Kongres Rakyat Kebangsaan menetapkan, perbuatan memakan dan berdagang hidupan liar yang dilarang akan dikenakan ‘hukuman berat’.

Ini termasuk kesalahan memburu, menjual beli dan mengangkut hidupan liar untuk dijadikan makanan.

Beliau menambah, menggunakan hidupan liar bagi tujuan lain seperti penyelidikan saintifik, perubatan dan pameran perlu melalui pemeriksaan ketat serta mendapat kelulusan kuarantin.

Sebelum penguatkuasaan undang-undang baru itu diumumkan, peniaga yang dibenarkan menjual daging keldai, anjing, rusa, buaya dan hidupan liar lain memberitahu Reuters mereka merancang untuk kembali berniaga sebaik pasar dibuka.

Ramai ahli akademik, pencinta alam sekitar dan sebahagian besar penduduk China sendiri menyertai kumpulan pemuliharaan antarabangsa mendesak pemerintah mengharamkan sama sekali perdagangan dan amalan memakan hidupan liar. 

Sumber : Reuters/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan