Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: Badan bertindak siasat dakwaan individu disuntik picagari tanpa vaksin di M'sia

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Malaysia sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu yang disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Badan bertindak siasat dakwaan individu disuntik picagari tanpa vaksin di M'sia

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Jul 2021 07:43PM Dikemas Kini : 19 Jul 2021 07:46PM

KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Malaysia sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu yang disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor.

Dakwaan itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi kenyataannya hari ini (19 Jul), CITF menyatakan siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

CITF menegaskan, petugas vaksinasi yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang, malah perkhidmatan petugas yang terlibat boleh ditamatkan.

"Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.

Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos serta suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya," tambah kenyataan itu.

Menurut CITF, kes di Kedah dilaporkan pada Sabtu lalu di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang dikhaskan untuk anggota ATM dan ahli keluarga.

Proses vaksinasi di PPV berkenaan dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem itu.

"ATM telah membuat siasatan mengenai kejadian tersebut dan individu terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut," menurutnya.

Selain itu, dua lagi dakwaan kes sama turut dilaporkan masing-masing di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu serta PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di Selangor semalam.

Menurut CITF, kes berkenaan dalam siasatan polis dan perkembangan mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa berkenaan. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan