Images
  • arab saudi covid-19
    (Gambar: Agensi berita)

COVID-19: Arab Saudi jalankan kajian meluas bagi pembukaan semula Masjidil Haram

RIYADH: Agensi Ehwal Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi, sedang menjalankan kajian meluas bagi pembukaan semula masjid paling suci dalam Islam itu.

Ini termasuk aspek kawalan pergerakan orang ramai, menjelang sambungan semula ibadat umrah dan tawaf, tidak lama lagi.

Namun langkah-langkah mencegah penularan COVID-19 akan tetap diutamakan.

Menurut laporan akhbar Saudi Gazette, pihak berkuasa merancang membenarkan maksimum 40 peratus kapasti Masjidil Haram pada satu-satu masa.

Pintu masuk dan keluar ke Masjidil Haram juga akan diasingkan selain memerlukan para jemaah mendaftarkan nombor kontak mereka ketika memasuki masjid ini.

Kamera-kamera mengesan suhu badan juga akan dipasang di setiap pintu masuk Masjidil Haram dan mereka dengan suhu badan yang tinggi, tidak akan dibenarkan masuk.

Pemakaian pelitup juga akan diwajibkan dengan langkah jarak selamat sentiasa harus diamalkan.

Pintu-pintu masuk dan keluar dari Masjidil Haram juga akan diasingkan bagi para jemaah yang melakukan umrah dengan mereka yang tidak.

Kawasan mataf akan hanya dibuka untuk mereka yang melakukan umrah saja.

Pelaksanaan tawaf juga akan terbahagi kepada tiga jaluran untuk memastikan penjarakan sosial.

Para jemaah juga akan digalak solat Jumaat di kawasan hotel masing-masing, bagi mengelakkan kesesakan di dalam Masjidil Haram.

Pihak berkuasa Saudi juga sedang menimbangkan syarat mendapatkan permit untuk ke Masjidil Haram untuk para pengunjung dari luar Makkah.

- Agensi berita/AA/ha

Top