Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: 60 kelompok jangkitan berkaitan perayaan dilapor di M'sia dalam tempoh 4 minggu

Lebih 3,500 kes berserta 20 kematian di Malaysia dikaitkan dengan kelompok jangkitan COVID-19 akibat sambutan perayaan sejak 13 Mei.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 60 kelompok jangkitan berkaitan perayaan dilapor di M'sia dalam tempoh 4 minggu

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Jun 2021 09:47PM Dikemas Kini : 10 Jun 2021 09:51PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 kluster perayaan dilaporkan bermula 13 Mei hingga 10 Jun, dengan 58 daripadanya melibatkan sambutan Aidilfitri dan dua lagi kluster melibatkan Hari Gawai.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 13,023 individu telah disaring dalam kluster itu dengan 3,511 kes positif COVID-19 telah dikenal pasti, menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27 peratus.

Daripada jumlah kes positif tersebut, 20 kematian telah dilaporkan dan sehingga kini, 11 kes masih dalam rawatan di Unit Jagaan Rapi (ICU).

“Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan yang tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster (18.3 peratus), Sarawak dengan lapan kluster (13.3 peratus), serta Kedah dengan tujuh kluster (11.7 peratus).

“Situasi peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat.

“Sekiranya masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan tersebut, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini (10 Jun).

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata semua pihak perlu bertanggungjawab untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka kepada jangkitan virus COVID-19.

Katanya, Malaysia wajar mencontohi negara jiran yang berjaya mengawal situasi pandemik COVID-19 dengan baik, sekali gus membuktikan kerjasama antara semua pihak dan kepatuhan yang tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP), kehidupan kepada normal mampu menjadi kenyataan.

“Rakyat Malaysia digesa untuk kekal duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak di luar. Daftarkan diri anda dan ahli keluarga untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi membentuk imuniti kelompok dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan