Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COP26: 10 sebab mengapa sidang ini detik penting dalam usaha tangani perubahan iklim

Bulan November dimulakan dengan lebih 100 pemimpin dunia dijangka berhimpun di Glasgow, Scotland, bagi pusingan terkini perbincangan peringkat tinggi untuk membantu menangani cabaran-cabaran perubahan iklim. 

Anggaran Waktu Membaca:
COP26: 10 sebab mengapa sidang ini detik penting dalam usaha tangani perubahan iklim

(Gambar: iStock/piyaset)

Diterbitkan : 31 Oct 2021 10:06PM Dikemas Kini : 31 Oct 2021 10:09PM

BANGKOK: Bulan November dimulakan dengan lebih 100 pemimpin dunia dijangka berhimpun di Glasgow, Scotland, bagi pusingan terkini perbincangan peringkat tinggi untuk membantu menangani cabaran-cabaran perubahan iklim.

Berikutan Perjanjian Paris pada 2015, negara-negara yang menandatanganinya berikrar untuk meningkatkan usaha iklim mereka setiap lima tahun.

Walaupun ditangguh akibat pandemik, COP26 - merujuk kepada Sidang Parti-Parti - adalah masanya untuk negara-negara melakar hala tuju ke arah usaha mengurangkan pengeluaran karbon dan akhirnya, menyasarkan karbon terhapus di muka bumi.

Jika mesyuarat itu berjalan seperti yang dirancang, ia boleh mencetuskan momentum lebih besar ke arah sifar karbon di banyak bahagian di seluruh dunia.

Berikut adalah 10 perkara penting yang perlu anda tahu tentang COP26:

1. COP26 mungkin peluang terakhir untuk hadkan pemanasan global

Meskipun Perjanjian Paris adalah satu perjanjian transformasi, yang menetapkan satu hala tuju iklim bagi kebanyakan negara di dunia, perincian tentang apa yang akan disumbangkan oleh setiap negara bagi tujuan tersebut boleh dikemas kini sepanjang usaha itu dipergiat.

Ikrar mereka - yang dikenali sebagai "Sumbangan Ditentukan Negara-negara" - pada enam tahun lalu dikutuk sebagai tidak serasi dengan rancangan untuk menghadkan pemanasan kepada 1.5 darjah Selsius atas tahap sebelum perindustrian. Bahkan, komitmen itu mungkin menyebabkan pemanasan 3 darjah Selsius.

Bagi COP26, sasaran itu perlu dikemas kini dan diperkukuhkan untuk memastikan Perjanjian Paris terus boleh dicapai. Mekanisme undang-undang dalam rundingan akan membantu negara-negara untuk saling bertanggungjawab.

Rundingan akan tertumpu kepada usaha untuk mengecap sasaran yang lebih bercita-cita tinggi menjelang 2030 bagi mengelakkan dunia daripada mencapai satu titik kritikal, di mana pemanasan pada masa hadapan - dan semua akibatnya - akan diteliti.

2. Britain akan tetapkan agenda dengan empat bidang tumpuan utama

Sebagai tuan rumah di samping Itali, Britain akan menggesa agar sidang itu ditumpukan kepada "arang batu, wang tunai, kereta dan pokok", menurut Perdana Menteri Boris Johnson.

Presiden Dilantik COP26 Alok Sharma berkata beliau juga mahu setiap pemimpin negara untuk tiba di Scotland dengan satu perancangan jelas bagi penyesuaian iklim, iaitu satu aspek sasaran yang sering terlepas pandang, yang cenderung tertumpu kepada langkah-langkah pengurangan.

3. Beberapa negara sudah tetapkan sasaran tinggi; yang lain belum

Banyak negara menyasarkan perkecualian karbon, atau sifar bersih, menjelang 2050. Malaysia, Laos dan Australia adalah tiga negara di rantau ini yang akan membuat ikrar itu.

Namun, para pencemar utama seperti China, India, Afrika Selatan dan Arab Saudi terlepas tarikh akhir untuk menyerahkan matlamatnya yang dikemas kini. Negara-negara pencemar lain seperti Brazil, Mexico dan Rusia pula menyerahkan sasaran yang sama atau lebih lemah berbanding versi sebelumnya, menurut Pengesan Tindakan Iklim.

Semua sasaran itu tidak wajib dan negara-negara tidak akan dikenakan sekatan sekiranya ia gagal untuk menyerahkan mahupun memenuhinya.

Lebih banyak negara dijangka akan memperkuat ikrar mereka di COP26 sewaktu sidang para pemimpin pada hari-hari pertama sidang tersebut.

4. Negara-negara membangun gesa lebih banyak bantuan

Dalam Perjanjian Paris, negara-negara maju berikrar untuk menyumbang AS$100 bilion (S$134 bilion) setiap tahun menjelang 2020 sehingga 2024, dengan sekurang-kurangnya separuh daripadanya akan mengamalkan penyesuaian dan jumlah itu akan dinaikkan menjangkaui 2025.

Negara-negara seperti Indonesia akan terus menggesa bagi lebih banyak bantuan antarabangsa dengan menjadikan kemajuan iklimnya bergantung kepada bantuan luar.

5. Semua mata tertumpu kepada China

Arang batu masih merupakan sumber tenaga terbesar di China. Namun, Presiden Xi Jinping sedang memacu satu perubahan tenaga berdasarkan satu pelancaran besar-besaran yang dirancang mengenai jenis prasarana tenaga boleh diperbaharui yang berbeza-beza.

Negara itu bertanggungjawab ke atas lebih 25 peratus pelepasan global dan ada tekanan luar untuk mempercepatkan sasaran keneutralan karbonnya yang ditetapkan pada 2060. Ia juga hanya merancang untuk mencapai kemuncak pelepasan pada hujung dekad ini.

6. Adakah ini benar-benar penghujungnya untuk arang batu?

Keputusan China mungkin menyebabkan negara-negara dan syarikat-syarikat lain bertindak serupa. Menurut para pakar, arang batu sudahpun hampir pupus. Kewangan antarabangsa semakin susut bagi membiayai projek-projek baru di seluruh dunia manakala projek yang dalam perancangan pula berisiko tergendala pada masa hadapan.

Jepun dan Korea Selatan - yang bersama-sama China membentuk 95 peratus pembiayaan arang batu di luar negara sejak 2013 - sudah menarik balik sokongannya untuk penjanaan tenaga kotor antarabangsa. Ini termasuk projek-projek di Asia Tenggara.

Di seluruh dunia, pembiayaan bagi projek-projek baru merosot pada 2019 ke paras terendah yang pernah disaksikan dalam sedekad. Sungguhpun demikian, Asia Tenggara kekal mempertahankan trend itu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pesat komoditi mencapai tarikh luput.

Pemilik lombong arang batu seperti Australia, Rusia dan Indonesia - serta pengguna besar seperti India dan China - berkemungkinan masih bergantung kepada sumber itu. Banyak negara membangun juga akan terus mengendalikan lojinya untuk dekad-dekad akan datang.

7. Metana juga tersorot dalam agenda

Laporan terkini IPCC menjadikannya lebih mendesak lagi untuk menggesa had ke atas pelepasan metana iaitu penyumbang gas kedua terbesar kepada pemanasan global selepas karbon dioksida (CO2).

Metana adalah gas lebih dahsyat apabila ia melibatkan pemanasan, bagaimanapun, ia menyebabkan kesan jangka pendek 80 kali lebih banyak berbanding CO2.

8. Apakah agenda Singapura?

Singapura berkemungkinan menggesa untuk memperkukuhkan kata sepakat dan kerjasama bagi perubahan iklim di COP26.

Singapura hanya menyumbang sekitar 0.1 peratus kepada pelepasan sejagat. Buat masa ini, pemerintah menyasarkan untuk mengurangkan separuh kemuncak pelepasan gas rumah hijau 2030 menjelang 2050. Ia juga mahu mencapai pelepasan sifar bersih sebaik sahaja ia boleh berdaya maju pada separuh kedua abad ini.

Singapura mempunyai pilihan tenaga alternatif dan berdepan kekangan serius berbanding negara-negara yang lebih dibiayai dalam bidang ini.

Singapura mungkin memperjuangkan bagi satu agenda penghapusan karbon dan berusaha untuk menggalak huraian berhubung tenaga boleh diperbaharui, pasaran karbon serta teknologi baru.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu dijangka terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi untuk mengendalikan Artikel 6 Perjanjian Paris, yang meliputi kerjasama antara negara-negara untuk memenuhi sasaran pengurangan pelepasan mereka termasuk melalui pasaran karbon antarabangsa.

9. Beberapa nama besar bakal hadir

Encik Xi tidak akan hadir ke COP26 selepas beliau memutuskan untuk kekal di China, di mana beliau terus berada sepanjang krisis COVID-19.

Namun sekitar 120 pemimpin negara dijangka hadir termasuk Encik Johnson, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha, Presiden Amerika Joe Biden, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dan Perdana Menteri Australia Scott Morrison.

Para hadirin lain termasuk penyiar dan sejarawan alam semula jadi Sir David Attenborough, yang dinamakan sebagai Pejuang Masyarakat COP26 dan akan memberi ucapan kepada para pemimpin dunia. Ratu Elizabeth, Putera William dan Leonardo DiCaprio juga akan berada di sidang itu.

10. Ramai orang mahu COP26 ditangguhkan

Beberapa hadirin dari negara-negara membangun, di mana kesan perubahan iklim diramalkan melanda paling teruk, mengutuk keputusan untuk meneruskan sidang itu memandangkan kesukaran dari segi logistik, masalah visa dan tekanan ekonomi.

Pandemik COVID-19 memburukkan lagi masalah akses kepada perjalanan kerana pelancaran vaksin yang tidak saksama.

Harga yang melambung tinggi bagi penginapan di Glasgow membuatkannya lebih mencabar dari segi kewangan bagi sesetengah peserta meskipun beberapa warga setempat bermurah hati membuka pintu rumah mereka kepada para hadirin.

Tunjuk perasaan dijangka dijalankan sepanjang sidang tersebut. Namun ia tetap akan diteruskan dengan pelbagai langkah jarak selamat dan keselamatan dilaksanakan, setelah ia ditundakan sejak tahun lalu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan