Images
  • duterte meeting
    Gambar fail Presiden Filipina Duterte. 

Contohi Duterte, tembak pengedar dadah, tegas AP M’sia

KUALA LUMPUR: Seorang anggota politik Malaysia semalam (28 Nov) mencadangkan kepada kerajaan untuk mengikut jejak pemerintah Filipina berhubung tindakan menghukum penjara penagih dadah tanpa perbicaraan dan menembak mati pengedar dadah yang enggan menyerah diri.

“Mengapa tidak kita mengikuti cara Filipina? Semua penagih dadah, mari jel mereka tanpa perbicaraan… Pengedar dadah, tembak sahaja mereka,” tegas Datuk Seri Bung Moktar Radin, Anggota Parlimen bagi kawasan undi Kinabatangan di Sabah dalam satu perbahasan di parlimen.

Tahun lalu, Datuk Seri Bung Moktar yang mewakili UMNO dalam pakatan Barisan Nasional, pernah mengusulkan cadangan yang sama di Parlimen. Beliau meminta kerajaan bertindak tegas dengan menembak penagih dan pengedar dadah bagi membanteras gejala dadah.

Menolak cadangan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindakan itu bertentangan dengan norma dan dasar antarabangsa serta melanggar hak asasi manusia.

“Kita tidak perlu mengikut mereka (Filipina) kerana ini akan mendatangkan banyak implikasi dan tekanan dari pihak luar seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),” katanya semasa menggulung perbahasan di Dewan Rakyat. 

- BERNAMA/CNA/SM/sm

Top