Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cium Hajar Aswad boleh jadi haram kalau bawa mudarat

Konsultan ibadah Daerah Kerja Makkah Kyai Haji Ahmad Wazir berkata bahawa mencium hajar aswad boleh menjadi haram hukumnya jika ia tidak mempertimbangkan perkara-perkara lain seperti aspek kemudaratan, keamanan serta kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Cium Hajar Aswad boleh jadi haram kalau bawa mudarat

(Gambar: BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 22 Jul 2019 11:43PM Dikemas Kini : 22 Jul 2019 11:47PM

MAKKAH: Konsultan ibadah Daerah Kerja Makkah Kyai Haji Ahmad Wazir berkata bahawa mencium hajar aswad boleh menjadi haram hukumnya jika ia tidak mempertimbangkan perkara-perkara lain seperti aspek kemudaratan, keamanan serta kesihatan.

"Status hukum mencium hajar aswad adalah sunnah yang ditunjukkan Rasulullah SAW dan diamalkan oleh Saidina Umar, namun perlu juga lihat pada keadaan pada masa itu," kata KH Ahmad Wazir, yang juga merupakan pengendali Pondok Pesantren Denanyar Jombang, Jawa Timur di Makkah, pada Isnin (22 Jul).

Beliau berkata bahawa ketika zaman Nabi, bilangan penduduk ketika itu mungkin masih sedikit sehingga tidak menimbulkan kesulitan ketika mencium batu hajar aswad.

Namun menurut beliau, dalam konteks sekarang, hal itu menjadi sukar kerana orang ramai akan berasak-asak untuk mendekati dan mencium hajar aswad.

"Dari satu sudut tentu mengejar perkara sunnah ada kebaikannya. Namun dari satu sudut pula perlu mempertimbangkan aspek-aspek mudharat, isu kesihatan dan keamanan," kata beliau.

Beliau berkata lagi bahawa ajaran Islam turut menekankan aspek kesihatan dan keamanan. Secara dasarnya, kata beliau, jika mengejar sunnah dan mencium hajar aswad dengan cara-cara tidak baik, perbuatan itu boleh menjadi haram hukumnya.

"Mengejar sunnah mencium hajar aswad dengan cara siku-menyiku, menginjak-injak (orang lain), itu haram hukumnya," kata beliau.

KH Ahmad Wazir bagaimanapun menekankan bahawa terdapat huraiannya kerana masih terdapat banyak tempat-tempat di Tanah Suci yang boleh dikunjungi dan afdal untuk melakukan ibadah.

"Dalam kondisi tidak memungkinkan seseorang sampai ke hajar aswad kerana sesak dan lain sebagainya, cukup melambaikan tangan dan dicium. Itu juga tidak mengurangi pahalanya," tambah beliau.

Dalam pada itu beliau menekankan agar para jemaah jangan sehingga memaksa diri untuk ke hajar aswad.

"Berbeza dengan orang yang fizikalnya kuat dan sihat yang melakukannya dengan santun, kini ada orang yang boleh dibayar untuk membantu seseorang sampai ke hajar aswad - itu juga bukan suatu perbuatan terpuji," kata beliau.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan