Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cinta bukan kerana rupa - wanita yang cedera dalam nahas perahu sudah bernikah

Pernikahan merupakan penyatuan dua insan yang saling bercinta. Meski pernah mengalami kemalangan hingga menyebabkan rupanya tidak sempurna lagi, pujaan hati Ayu tetap bertekad memilih dirinya sebagai pasangan hidup.  

Anggaran Waktu Membaca:
Cinta bukan kerana rupa - wanita yang cedera dalam nahas perahu sudah bernikah

Ayu, mangsa nahas perahu 2009, melangsungkan pernikahan bersama pilihan hatinya. (Gambar: Instagram/@tante_rempong_/2021 Merdeka.com)

Diterbitkan : 21 Jan 2021 06:56PM Dikemas Kini : 21 Jan 2021 07:15PM

INDONESIA: Pernikahan merupakan penyatuan dua insan yang saling bercinta.Meski pernah mengalami kemalangan hingga menyebabkan rupanya tidak sempurna lagi, pujaan hati Ayu tetap bertekad memilih dirinya sebagai pasangan hidup.

Kisah menyentuh ini menjadi bukti bahawa cinta merupakan anugerah dan melampaui paras rupa.

BERNIKAH DENGAN PUJAAN HATI

Wanita yang dikenali sebagai Ayu, baru-baru ini melangsungkan pernikahan bersama pilihan hatinya.

Video mereka menjadi 'viral' di media sosial di mana Ayu kelihatan cantik mengenakan gaun pengantin berwarna kuning di beberapa video yang disebarkan.

Di sampingnya pula, segak berdiri pujaan hati yang kini rasmi menjadi suaminya. Mereka bernikah dengan adat Dayak Ngaju di kediaman Ayu di Palangkaraya, Kalimantan Tengah.

(Gambar: Instagram/@tante_rempong_/2021 Merdeka.com)

(Gambar: Instagram/@tante_rempong_/2021 Merdeka.com)

CINTA TIDAK MENGENAL RUPA
Bak cerita dongeng, Ayu seolah-olah ditemukan dengan cinta sejatinya di waktu yang tepat.

Menurut suaminya, kelembutan hati dan sikap Ayu memikat hati beliau. Padanya, Ayu seorang wanita luar biasa, lain daripada yang lainnya.

"Sebenarnya, saya lebih lihat pada hati. Saya lihat Ayu ini, orangnya istimewa, berbeda daripada yang lain," kata sang suami.

PERTAMA KALI BERTEMU

Rupa-rupanya, pasangan ini bertemu semasa bermain bersama-sama dalam sebuah permainan di wadah online.

(Gambar: Instagram/@tante_rempong_/2021 Merdeka.com)

"Jadi begini, pertama kali kami bertemu itu sewaktu saya bermain PUBG bersamanya. Jadi, seperti yang diketahui teman-teman, kami bertemu melalui suara dahulu lalu berjumpa. Jujur saya yang ingin mengambil tahu tentangnya," ujar sang suami.

MANGSA TERSELAMAT DALAM INSIDEN MESIN PERAHU

Ayu merupakan gadis yang terselamat dari insiden perahu pada 15 April 2009.

Ketika itu, beliau masih berusia 12 tahun dan ingin membantu keluarga untuk berladang menggunakan perahu.

Malangnya, rambut Ayu yang menjuntai ditarik mesin perahu ketika dia sedang berusaha membuka sumbatan air.

Setelah diselamatkan dari perahu, Ayu dipindahkan di depan rumah dengan keadaan yang tidak sedarkan diri.

"Seperti disiram air banyak begitu, soalnya, darahnya banyak sekali dan kulit kepala sudah terlepas," cerita Ayu melalui akaun YouTube Gritte Agatha.

Keluarganya lantas membawa beliau dengan perahu ke hospital Banjarmasin untuk mendapatkan rawatan.

Ayu menjalani pembedahan selama sekitar 12 jam, dengan keadaan kulit kepala yang koyak dan penuh dengan darah di kepala.

(Gambar: 2020 Merdeka.com)

(Gambar: 2020 Merdeka.com)

Meski kejadian tersebut berlaku semasa Ayu berusia 12 tahun, ia masih meninggalkan kesan yang mendalam baginya.

Ramai rakan yang menjauhinya kerana tidak boleh terima keadaan beliau, serta diejek kerana mirip 'mahkluk asing' di platform Tik Tok di mana beliau memuat naik videonya.

Namun ada juga yang menyokong Ayu dan memberikan respons yang baik bagi video-videonya.

Ternyata, kisah pernikahan Ayu bersama sang suami menjadi bukti bahawa cinta tidak mengenali rupa. 

Sumber : Agensi berita/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan