Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China siasat bekas Menteri Keadilan terbabit rasuah

Pihak berkuasa antirasuah China mengumumkan hari ini (2 Okt) siasatan terhadap bekas Menteri Keadilan.

Anggaran Waktu Membaca:
China siasat bekas Menteri Keadilan terbabit rasuah

Fu Zhenghua di sebuah mesyuarat di Beijing, China pada 2011. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 02 Oct 2021 04:05PM Dikemas Kini : 02 Oct 2021 04:09PM

BEIJING: Pihak berkuasa antirasuah China mengumumkan hari ini (2 Okt) siasatan terhadap bekas Menteri Keadilan.

Fu Zhenghua menjadi pemimpin kanan terbaru yang akan diheret dalam usaha Beijing membanteras rasuah.

Jumlah pemimpin kanan parti komunis yang ditangkap dalam kempen antirasuah Presiden Xi Jinping, semakin meningkat yang didakwa pengkritik adalah langkah untuk menyingkirkan musuh politik sejak beliau berkuasa pada 2013.

Fu Zhenghua memainkan peranan utama di Beijing termasuk dilantik Menteri Keadilan dan Ketua Biro Keselamatan Awam. Dia disiasat kerana "pelanggaran serius disiplin dan undang-undang", menurut kenyataan pihak berkuasa.

Zhenghua dipercayai memimpin siasatan terhadap Zhou Yongkang, bekas pegawai keselamatan yang dipenjarakan pada 2015, kerana terbabit dalam salah satu kes berprofil tinggi.

Namun, dia kini berdepan siasatan Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat (CCDI).

Zhenghua sekarang ini menyandang jawatan timbalan pengarah sosial dan undang-undang jawatankuasa tetap badan penasihat, Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC).

Kenyataan CDDI itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas bekas Timbalan Menteri Keselamatan Awam, Sun Lijun, yang bertanggungjawab ke atas keselamatan di Hong Kong semasa rusuhan berlangsung selama berbulan-bulan dipecat daripada parti kerana rasuah.

Sun dituduh menyimpan dokumen rahsia peribadi, lari dari tugas memerangi pandemik dan membayar bagi khidmat seks. Dia berdepan siasatan dan pendakwaan lanjut.

Lebih sejuta pegawai dihukum di bawah kempen antirasuah setakat ini, yang menjadi asas tempoh pemerintahan Presiden Xi.

September lalu, bekas ketua syarikat minuman keras China, Kweichow Moutai, dipenjara seumur hidup kerana menerima suapan lebih AS$17 juta (S$23 juta).

Tahun lalu, bekas ketua pengawal selia insurans China dijatuhi hukuman penjara 11 tahun juga atas kesalahan rasuah. 

Sumber : AFP/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan