Images
  • virus
    (Gambar: AFP)

China perketat kawalan sedang angka korban virus Wuhan cecah 80

WUHAN: China memperluaskan sekatan perjalanan secara drastik pada Isnin (27 Jan) dan melanjutkan cuti umum dalam usaha untuk membendung wabak yang sudah meragut nyawa 80 orang dan menjangkiti lebih 2,300 yang lain, sedang beberapa negara bersiap sedia untuk memindahkan warga masing-masing dari Wuhan yang kini dikuarantin atas statusnya sebagai tempat di mana virus tersebut mula menular.

China sudah menutup laluan keluar masuk ke Hubei yang terletak di bahagian tengah negara itu, dalam operasi yang belum pernah dikuatkuasakan sebelum ini, sekali gus menjejas berjuta-juta orang, yang bermatlamat untuk membendung jangkitan virus pernafasan itu.

Keupayaannya untuk menular kelihatan "semakin kuat" meskipun ia "tidak sekuat SARS", menurut para pegawai kanan kesihatan China dalam satu sidang media.

Sebuah kumpulan kerja yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Li Keqiang untuk menangani wabak itu memutuskan untuk melanjutkan tempoh cuti umum yang asalnya dijadual berakhir pada 30 Januari. Langkah tersebut bertujuan untuk "mengurangkan pergerakan orang ramai" dan dilaksanakan bersama perubahan pada tarikh sekolah dibuka semula, lapor media rasmi Xinhua.

KES MUNGKIN LONJAK LAGI 1,000

Di luar Wuhan, wilayah seperti Shandong dan empat bandar - Beijing, Shanghai, Xi'an dan Tianjin - turut mengumumkan larangan terhadap bas yang melakukan perjalanan jauh yang memasuki atau meninggalkan Wuhan. Langkah itu akan menjejas berjuta-juta orang yang melakukan perjalanan sempena Tahun Baru Cina.

Wilayah di selatan China, Guandong, dengan Jiangxi di tengah China, dan tiga bandar lain mewajibkan orang ramai memakai pelitup apabila berada di tempat-tempat awam.

Berasal dari ibu kota Hubei, Wuhan, virus itu sudah merebak ke seluruh China dan merata dunia - dengan kes-kes jangkitan disahkan di berpuluh-puluh negara hingga sejauh Amerika Syarikat.

Jumlah kes yang disahkan di bandar itu boleh meningkat lagi 1,000, menurut datuk bandar Wuhan Zhou Xianwang pada Ahad berdasarkan jumlah kes yang sedang dipantau di hospital-hospital.

Beliau turut mendedahkan bahawa sekitar lima juta orang sudah meninggalkan bandar itu di tengah-tengah kesibukan musim perayaan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC) menegaskan bahawa sebuah pasar di Wuhan di mana haiwan-haiwan seperti tikus, ular dan sejenis landak kecil dilaporkan dijual adalah "sangat relevan" kepada penularan virus itu, menurut agensi berita rasmi Xinhua pada Isnin.

Pada Ahad, pemerintah menyatakan pihaknya akan mengharamkan perdagangan haiwan liar sehingga kecemasan itu diisytiharkan sudah berakhir. Namun para aktivis alam sekitar mengeluh bahawa Beijing sebelum ini gagal menepati ikrar-ikrar sedemikian.

Kumpulan-kumpulan hak asasi haiwan menggesa pengharaman itu dikuatkuasakan selama-lamanya, sambil menyatakan ia mungkin akan dapat mencegah penularan seumpama itu pada masa akan datang.

- AFP/TQ/tq

Top