Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China kini kuarantin 9 bandar untuk kawal virus korona Wuhan

Dalam satu langkah berani yang belum pernah dilakukannya sebelum ini, China hari ini (24 Jan) memperluaskan lagi perintah kuarantin demi pencegahan terhadap virus berjangkit. 

Anggaran Waktu Membaca:
China kini kuarantin 9 bandar untuk kawal virus korona Wuhan

Seorang pegawai polis di Wuhan memakai pelitup muka pada 24 Jan 2020 (Gambar: AFP/Hector Retamal)

Diterbitkan : 24 Jan 2020 08:03PM Dikemas Kini : 24 Jan 2020 08:08PM

WUHAN: Dalam satu langkah berani yang belum pernah dilakukannya sebelum ini, China hari ini (24 Jan) memperluaskan lagi perintah kuarantin demi pencegahan terhadap virus berjangkit. Lebih 30 juta penduduk di sembilan bandar kini dikenakan kuarantin, sedang angka korban virus korona Wuhan meningkat kepada 26 orang.

Beberapa perayaan Tahun Baru Cina dibatalkan manakala Forbidden City di Beijing dan Disneyland Shanghai mengumumkan penutupan sementara untuk mencegah penyakit itu terus menular.

Ini walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengisytiharkan krisis itu sebagai kecemasan global.

Virus baru itu mencetuskan rasa cemas kerana persamaannya dengan SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk), yang bermula di China dan Hong Kong pada 2002-2003. Ia kemudian menjangkiti lebih 8,000 orang dan meragut sekitar 800 nyawa.

PESAKIT, PENDUDUK BIMBANG

Pada Jumaat Wuhan ibarat sebuah bandar berhantu, jalan-jalannya sepi dan kedai-kedai ditutup.

Namun hospital-hospital yang dikunjungi oleh wartawan AFP riuh rendah dengan pesakit-pesakit yang berasa bimbang untuk diperiksa kakitangan yang memakai pakaian perlindungan seluruh badan.

Seorang lelaki berumur 35 tahun menyuarakan kebimbangan ramai orang.

"Saya sedang demam dan batuk, jadi saya bimbang saya dijangkiti," katanya, hanya memberi nama keluarga beliau, Li.

"Saya tidak tahu hasilnya, saya agak bimbang."

Dengan ratusan juta orang melakukan perjalanan di seluruh China untuk percutian, pemerintah menghentikan semua perjalanan keluar masuk ke Wuhan, menggantung pengangkutan awam dan memberitahu penduduk supaya duduk di rumah. Hanya beberapa penerbangan dibenarkan ke bandar itu, membuatkan bandar itu terus terpencil.

Patogen itu, yang dikenali dengan nama teknikalnya, 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV), mencetuskan kecemasan di seluruh dunia, dengan pelitup yang dijual di banyak cawangan di Shanghai, Beijing dan bandar-bandar lain.

8 LAGI BANDAR DIPENCILKAN

Selain Wuhan, lapan bandar lain yang berdekatan juga diasingkan.

Yang terkini, Jingzhou, bandar yang mempunyai lebih lima juta penduduk, pada Jumaat menutup semua perkhidmatan kereta api yang meninggalkan bandar serta bas-bas awam dan pengangkutan lain.

Sekatan Wuhan semakin diperketat, dengan pihak berkuasa mengehadkan jumlah teksi yang dibenarkan di jalan raya mulai Jumaat.

Pada Jumaat, kakitangan yang memakai baju perlindungan seluruh badan dilihat memeriksa suhu orang yang memasuki stesen kereta bawah tanah di Beijing.

Pihak berkuasa China berkata bilangan kes melonjak semalaman menjangkaui 800, dengan 177 berada dalam keadaan serius. Pihak berkuasa juga sedang memeriksa lebih 1,070 kes yang disyaki.

Beijing dipuji atas tindak balasnya kali ini, berbeza dengan sewaktu penularan SARS. Ketika itu ia mengambil masa beberapa bulan untuk melaporkan penyakit itu dan pada mulanya tidak memberi akses kepada pakar-pakar WHO. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan