Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China jalankan latihan pendaratan pantai di wilayah bertentangan Taiwan

Tentera China menyatakan pada Isnin (11 Okt) bahawa pihaknya sudah melakukan latihan pendaratan dan serangan pantai di wilayah seberang laut bertentangan Taiwan, namun tidak mengaitkan latihan itu dengan ketegangan semasa dengan Taipei.

Anggaran Waktu Membaca:
China jalankan latihan pendaratan pantai di wilayah bertentangan Taiwan

Pacak-pacak yang dipasang di pantai Pulau Kinmen di Taiwan terletak hanya 3.2km dari tanah besar China, untuk bantu elak pencerobohan tentera (Gambar fail: AFP/Sam Yeh)

Diterbitkan : 12 Oct 2021 08:03AM Dikemas Kini : 12 Oct 2021 08:08AM

BEIJING: Tentera China menyatakan pada Isnin (11 Okt) bahawa pihaknya sudah melakukan latihan pendaratan dan serangan pantai di wilayah seberang laut bertentangan Taiwan.

Namun tidak mengaitkan latihan itu dengan ketegangan semasa dengan Taipei.

Taiwan yang diperintah secara demokratik, yang dituntut oleh China sebagai sebahagian wilayahnya, mengadu tentang tekanan ketenteraan dan politik yang meningkat dari Beijing untuk memaksanya supaya menerima pemerintahan China, termasuk pencerobohan angkatan udara secara besar-besaran ke zon pengenalan pertahanan udara Taiwan.

Akhbar rasmi People's Liberation Army Daily, dalam laporan ringkas di akaun blog mikro Weibo, menyatakan bahawa latihan itu dilakukan "dalam beberapa hari kebelakangan ini" di bahagian selatan wilayah Fujian.

Latihan itu melibatkan pasukan "kejutan", askar tempur yang pakar dalam kejuruteraan dan pakar bot, tambah akhbar tentera China. Pasukan itu "dibahagikan kepada beberapa gelombang untuk merebut pantai dan melakukan tugas pertempuran pada peringkat-peringkat berbeza", tambahnya, tanpa memberikan perincian lanjut.

Ia menunjukkan video tentera dalam bot-bot kecil menyerbu pantai, melemparkan bom asap, menerobosi pertahanan kawat berduri dan menggali parit.

Latihan itu melibatkan sejumlah kecil pasukan.

Cuaca cerah dan laut tenang - menunjukkan latihan itu tidak berlaku pada Isnin kerana Fujian selatan kini terjejas oleh ribut tropika yang bergerak antara Taiwan dengan Filipina.

Fujian akan menjadi lokasi pelancaran utama bagi sebarang pencerobohan China ke Taiwan disebabkan jarak geografinya.

China secara rutin melakukan latihan ketenteraan di sepanjang perairannya dan juga di Laut China Selatan, yang dipertikaikan.

Taiwan mengecam apa yang disifatkannya sebagai taktik tekanan China terhadapnya dan menegaskan akan mempertahankan diri jika diserang.

Pada hujung minggu, Presiden China Xi Jinping mengulangi ikrar untuk "menyatukan kembali" Taiwan, dan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen mengatakan Taiwan tidak akan dipaksa tunduk kepada China.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan