Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cemburu dipercayai punca pergaduhan yang akibatkan pelajar tahfiz 7 tahun maut

Cemburu dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pelajar sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh yang berakhir dengan kematian seorang pelajar cilik pusat tahfiz itu yang berusia tujuh tahun, Mohammad Aimin Nurul Amin, pada Khamis (7 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Cemburu dipercayai punca pergaduhan yang akibatkan pelajar tahfiz 7 tahun maut

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Nov 2019 11:34PM Dikemas Kini : 09 Nov 2019 11:36PM

KUANTAN: Cemburu dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pelajar sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh yang berakhir dengan kematian seorang pelajar cilik pusat tahfiz itu yang berusia tujuh tahun, Mohammad Aimin Nurul Amin, pada Khamis (7 Nov).

Tiga remaja yang dipercayai terbabit dalam kes kematian Mohammad Aimin kini ditahan reman sehingga Khamis depan (14 Nov).

Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan berkata, mangsa yang mula menuntut di pusat itu pada pertengahan Oktober lalu difahamkan menerima lebih perhatian daripada pasangan suami isteri yang mengusahakan pusat tahfiz berkenaan.

"Mangsa yang merupakan pelajar paling muda di situ juga difahamkan agak mesra dan manja dengan pasangan tersebut sehingga dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pelajar lain yang membawa kepada pergaduhan," katanya.

Menurut Encik Abd Jalil, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian Mohammad Amin adalah disebabkan trauma pada dada dan abdomen oleh permukaan atau objek tumpul.

Menurut laporan media, Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia kira-kira 1.20 petang pada Khamis (7 Nov) semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang di Temerloh.

Mohammad Aimin dibawa ke klinik itu oleh isteri pengusaha pusat tahfiz berkenaan yang menemui mangsa dalam keadaan lemah di asrama, selepas beliau didapati tidak bersama pelajar lain ke masjid untuk menunaikan solat zuhur.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa yang difahamkan dihantar ke pusat tahfiz itu bersama abang tirinya.

Pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu difahamkan mula beroperasi pada awal tahun lalu dan tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Setakat ini, ia mempunyai 14 pelajar dengan hanya empat menetap di asrama. 10 daripada pelajarnya berulang-alik ke pusat itu setiap hari.

PUSAT TAHFIZ TERBABIT SUDAH DIARAH TUTUP

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Wan Abdul Wahid Wan Hassan mengesahkan pusat tahfiz berkenaan tidak pernah mengemukakan permohonan kepada pihak MUIP sejak mula beroperasi awal tahun ini dan pihaknya mengarahkan supaya pusat tahfiz itu ditutup pada Sabtu (9 Nov).

“Kami mendapati pusat tahfiz itu tidak menepati syarat dan kriteria yang diwajibkan bagi membuka pusat tahfiz termasuk dalam aspek keselamatan. Malah, jika diikutkan pusat tahfiz yang mahu mengambil pelajar kanak-kanak yang berusia tujuh tahun perlu mematuhi pelbagai syarat lain kerana mereka masih dianggap terlalu muda untuk menguruskan diri sendiri,” katanya.

Selain keadaan pusat tahfiz yang tidak mengikut piawaian, Wan Abdul Wahid berkata kebolehpercayaan dan kelayakan satu-satunya tenaga pengajar di pusat tahfiz itu juga boleh dipersoalkan kerana pengajar itu tidak dapat dipantau ekoran tahfiz berkenaan yang tidak berdaftar. 

“Kita perlu pastikan ajaran yang dibawa adalah selari dengan amalan di negara ini, selain itu sekiranya ia melibatkan pelajar usia muda, subjek pendidikan adalah lebih meluas dan bukan hanya menghafal al-Quran semata-mata. Sebab itu, penting untuk ibu bapa mencari pusat tahfiz yang berdaftar bagi anak mereka supaya pendidikan yang diperoleh adalah menyeluruh untuk masa depan mereka,” katanya. 

TINDAKAN TEGAS TUTUP PUSAT TAKFIZ TIDAK BERDAFTAR MULAI TAHUN DEPAN

Wan Abdul Wahid berkata tindakan tegas menutup mana-mana pusat tahfiz tidak berdaftar di Pahang juga akan mula dikuatkuasakan mulai tahun depan, mengambil kira aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.
Menurutnya lagi, beliau berharap orang ramai tidak mudah menyerahkan tanah sebagai wakaf kepada mana-mana individu yang berhasrat membuka pusat tahfiz kerana ia menambah lagi kepada masalah pusat tahfiz yang tidak berdaftar. 

Walaupun tindakan wakaf itu memang dibuat dengan niat baik, namun cara yang sebetulnya ialah dengan menyerahkan wakaf itu kepada majlis agama Islam supaya dapat ditadbir dengan lebih sempurna baik. 

“Jika niat mahu membuka pusat tahfiz, maklumkan sahaja kepada MUIP semasa menyerahkan wakaf kerana ia lebih berterusan di bawah pentadbiran majlis. Sekiranya diwakafkan kepada individu, dikhuatiri wakaf itu tidak bersifat berterusan jika pemilik baharu tidak meneruskan pusat tahfiz itu atas sebab-sebab tertentu pada masa hadapan,” katanya.  

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan