Images
  • maid
    (Gambar: Bernama)

Cederakan anak majikan, pembantu rumah dipenjara 5 tahun

KLANG: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini (11 Ogos), selepas mengaku bersalah mencederakan anak majikannya berusia 12 bulan pada 29 Julai lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan Eli Limayati, 21, menjalani bon berkelakuan baik selama lima tahun, dengan seorang penjamin berserta cagaran RM40,000 (S$13,000), selain melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama 180 jam secara agregat, dalam tempoh enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Eli Limayati didakwa mendedahkan bayi itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal iaitu melecur akibat air panas di Taman Klang Perdana, Kapar di sini, kira-kira pukul 6.30 petang.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 (S$6,500) atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Eli Limayati kemudiannya merayu kepada mahkamah, supaya meringankan hukuman ke atasnya kerana dia perlu menanggung seorang anak dan ibu bapa yang sakit, di Indonesia.

Pada 29 Julai lepas, Bernama melaporkan polis menahan seorang pembantu rumah kerana disyaki mendera seorang bayi perempuan berusia setahun.

Siasatan mendapati mangsa melecur di belakang badan, punggung dan paha akibat terkena air panas, disyaki ketika sedang dimandikan oleh pembantu rumah berkenaan di bilik air.

- BERNAMA/NA/na

Top