Images
  • indonesia mcdonalds
    (Gambar: AFP)

Cawangan McDonald's Indonesia ditutup setelah peminat BTS berebut-rebut beli set hidangan

JAKARTA: Berpuluh-puluh cawangan McDonald's di Indonesia terpaksa ditutup buat sementara waktu pada Rabu (9 Jun) menyusuli kebimbangan berlaku penularan virus setelah para peminat K-pop berlumba-lumba membuat pembelian online bagi set hidangan sempena kumpulan dari Korea Selatan BTS yang dilancarkan oleh McDonald's.

Akibat tindakan mereka itu, sekurang-kurangnya 13 cawangan McDonald's di Jakarta dan beberapa lagi bandar terpaksa ditutup buat sementara setelah diserbu ramai pekerja penghantaran untuk mengambil tempahan set hidangan BTS.

"Kami tutup buat sementara waktu empat daripada enam cawangan McDonald's di Semarang selama beberapa hari," kata Encik Fajar Purwoto, ketua agensi ketenteraman awam Semarang.

"Saya tidak mahu Semarang menjadi zon merah COVID-19 sekali lagi."

Indonesia adalah salah satu daripada negara yang paling teruk terjejas oleh COVID-19 di Asia.

Pihak berkuasa Jakarta tidak menjawab permintaan bagi mendapatkan komen. Namun media tempatan melaporkan lima cawangan McDonald's di Jakarta ditutup ekoran tempahan set hidangan BTS itu.

Set hidangan itu terdiri daripada nugget ayam, kentang dan minuman, dan ia mula dijual di Indonesia pada Rabu setelah dijual di negara-negara lain sejak Mei lalu.

BTS muncul sebagai kumpulan bertaraf dunia dengan jutaan peminat dari seluruh dunia sejak mereka membuat kemunculan pada 2013.

- AFP/HA/ha

Top