Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cabul remaja bawah umur, Shahidan Kassim dilepas tanpa dibebaskan

Anggota Parlimen Arau Encik Shahidan Kassim dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan melakukan sentuhan seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini (24 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Cabul remaja bawah umur, Shahidan Kassim dilepas tanpa dibebaskan

Anggota Parlimen Arau Shahidan Kassim. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Apr 2019 11:08PM Dikemas Kini : 24 Apr 2019 11:12PM

KANGAR: Anggota Parlimen Arau Encik Shahidan Kassim dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan melakukan sentuhan seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini (24 Apr).

Peguam Encik Zamri Ibrahim yang mewakili Encik Shahidan ketika ditanya mengenai kes itu berkata Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak berhajat untuk meneruskan kes itu berikutan mangsa tidak mahu disoal dalam perbicaraan yang diadakan secara tertutup.

“Hari ini sepatutnya mangsa yang merupakan saksi pendakwaan kelima memberi keterangan. Mangsa sebelum itu sudah mengesahkan laporan polis yang dibuat mengenai kes itu tetapi kemudiannya beritahu mahkamah beliau tidak mahu disoal dan tidak mahu teruskan kes,” katanya.

Beliau berkata pihak pendakwaan kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak berhajat untuk memanggil saksi seterusnya dan memohon supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu mengikut Kanun Tatacara Jenayah.

Dilepaskan tanpa dibebaskan bermaksud tertuduh tidak dilepaskan sepenuhnya dan boleh dikenakan semula pertuduhan.

Encik Shahidan, 68 tahun, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam kereta Toyota Harrier di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra Kangar pada 20 Okt 2018 kira-kira jam 11.30 malam.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Encik Shahidan ketika diminta mengulas mengenai keputusan mahkamah itu hanya berkata: “saya berpuasa, saya orang Islam.”

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Mohd Nordin Ismail.

Perbicaraan kes itu yang bermula semalam sudah memanggil dua saksi pendakwaan. Hari ini mahkamah sudah mendengar keterangan dua saksi yang memberikan keterangan di mahkamah terbuka.

Selepas itu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan kelima dipanggil memberikan keterangan secara tertutup dan mahkamah meminta orang awam yang berada di dalam mahkamah keluar.

Terdahulu Inspektor Norzuki Husin yang bertugas dengan Cawangan Khas (SB) IPD Kangar dalam keterangannya berkata beliau tidak mengetahui kes itu secara jelas sehingga diberitahu rakannya, Encik Saiful Anuar Abdul Hamid iaitu anggota kumpulan Buskers DSSK semasa mereka minum di sebuah kedai di Kuala Perlis pada malam 20 Okt 2018.

Katanya beliau juga tidak mempengaruhi keluarga remaja perempuan itu untuk membuat laporan polis dan hanya membaca laporan yang dibuat oleh pengadu (remaja perempuan) semasa di Balai Polis keesokannya (21 Okt 2018).

Seorang lagi saksi pegawai penyiasat kes, Inspektor Abdul Fatah Abdul Manaf dalam keterangannya berkata beliau adalah pegawai yang merakam percakapan pengadu selepas membuat aduan pada jam 3.00 pagi 21 Okt 2018 dan turut merakam percakapannya sekali lagi semasa datang untuk menarik balik aduan pada jam 11.00 pagi. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan