Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bukti Najib terima dana 1MDB tidak diendahkan - ahli panel siasatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat bukti bahawa pada lewat 2015 sebanyak RM42 juta ringgit (S$14.2 juta) dipindahkan daripada bekas sebuah anak syarikat 1MDB ke dalam akaun mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Anggaran Waktu Membaca:
Bukti Najib terima dana 1MDB tidak diendahkan - ahli panel siasatan

(Gambar: Roslan Rahman/ AFP)

Diterbitkan : 15 May 2018 04:59PM Dikemas Kini : 15 May 2018 05:05PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat bukti bahawa pada lewat 2015 sebanyak RM42 juta ringgit (S$14.2 juta) dipindahkan daripada bekas sebuah anak syarikat 1MDB ke dalam akaun mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, cadangan untuk siasatan lanjut ditolak oleh Peguam Negara, kata seorang ahli panel yang menyiasat fail kes suruhanjaya itu kepada Reuters.

Datuk Seri Najib, secara konsisten menafikan sebarang salah laku berkaitan dakwaan rasuah yang melibatkan 1MDB dan menegaskan dana AS$681 juta (S910 juta) di akaun bank peribadinya adalah derma dari kerajaan Arab Saudi.

Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baru pada Khamis lalu (10 Mei), sebelum ini berikrar akan menyiasat skandal 1MDB dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mungkin bersubahat atau mendapat faedah daripada amalan rasuah itu.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat dan Switzerland, sedang menyiasat dakwaan bahawa AS$4.5 bilion (S$6 bilion) diselewengkan dari 1MDB.

Dalam temu bual dengan Reuters, ahli panel siasatan, Encik Lim Chee Wee berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dibentangkan dengan bukti oleh SPRM pada akhir tahun 2015 bahawa Datuk Seri Najib menerima AS$10.6 juta (S$14.8 juta) daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Encik Mohamed Apandi yang diarahkan bercuti dan tugasnya sebagai peguam negara digantung pada Isnin lalu, enggan meneruskan siasatan lanjut, kata Encik Lim.

"AG enggan menyiasat lanjut walaupun bukti menunjukkan bahawa Najib menerima secara langsung atau tidak wang RM42 juta (S$14.2 juta) dari SRC," kata Encik Lim.

Encik Mohamed Apandi enggan mengulas ketika dihubungi oleh Reuters. SPRM juga tidak bertindak balas terhadap permintaan Reuters untuk ulasan.

Encik Lim, dan seorang lagi ahli panel lain, P Sundramoorthy, seorang ahli kriminologi dari Universiti Sains Malaysia, juga berkata bahawa Mohamed Apandi berulang kali menolak permintaan SPRM untuk mendapatkan bantuan undang-undang daripada kerajaan asing untuk mengesan dana yang hilang dari 1MDB.

Encik Lim berkata bahawa mereka tidak dapat mengikuti jejak wang itu kerana ia di luar negara.

"Kami terus beritahu AG... sila mohon bantuan undang-undang dari bidang kuasa lain untuk kami mengetahui jejak wang dalam bidang kuasa tersebut.

“Kami tahu pergerakan wang di Malaysia, tetapi apabila ia meninggalkan Malaysia, kami tidak tahu di mana wang itu pergi," kata Encik Lim.

"Berdasarkan siasatan panel, kami merasakan kes itu tidak sepatutnya ditutup kerana ada maklumat yang mengatakan bahawa kes itu boleh disiasat lanjut," kata Sundramoorthy.

Bagaimanapun, beliau berkata dirinya tidak ingat jumlah yang disyaki oleh SPRM yang diterima Datuk Seri Najib dari SRC.

Datuk Najib atau jurucakapnya gagal dihubungi melalui telefon untuk memberi komen berhubung laporan ini.

Sumber : Bernama/FA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan