Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Budak 8 tahun ini sanggup merangkak 3km semata-mata untuk ke sekolah

Dilahirkan tanpa sepasang kaki yang sempurna sejak dilahirkan. Tidak dapat berlari seperti kanak-kanak lain. Dua tapak kecil pula menjadi 'kaki' yang membawanya ke mana-mana.

Anggaran Waktu Membaca:
Budak 8 tahun ini sanggup merangkak 3km semata-mata untuk ke sekolah

(Gambar: Arie Basuki/Merdeka.com)

Diterbitkan : 17 Dec 2018 01:45PM Dikemas Kini : 17 Dec 2018 02:04PM

SUKABUMI: Dilahirkan tanpa sepasang kaki yang sempurna sejak dilahirkan. Tidak dapat berlari seperti kanak-kanak lain. Dua tapak kecil pula menjadi 'kaki' yang membawanya ke mana-mana.

Jika perlu menempuhi dugaan seperti ini setiap hari, sesiapa sahaja akan bersedih. Namun tidak bagi seorang kanak-kanak berusia lapan tahun bernama Mukhlis Abdul Holik. Impiannya begitu besar sehingga dia dengan berani memberitahu Presiden Indonesia Joko Widodo bahawa dia ingin melanjutkan pelajaran dan menjadi seorang anggota bomba pada satu hari nanti.

Siapa sebenarnya budak bertubuh kecil yang mencipta nama di media sosial baru-baru ini?

(Gambar: Merdeka.com)

Inilah kanak-kanak yang sering disapa sebagai Adul. Dia menarik perhatian ramai selepas gambarnya digendong Presiden Jokowi tular di media sosial.

Adul berkesempatan bertemu dengan presiden republik itu dalam satu acara di mana perlengkapan-perlengkapan khusus bagi golongan kurang upaya dipamerkan. Adul adalah salah seorang peserta yang menyertai acara itu dan berjaya mendapat "jempol" daripada Presiden Jokowi setelah berkongsi tentang cita-citanya.

(Gambar: Arie Basuki/Merdeka.com)

(Gambar-gambar: Arie Basuki/Merdeka.com)

Bukan itu sahaja, kisah kehidupannya menjadi satu inspirasi kepada ramai kanak-kanak Indonesia untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

Adul setiap hari 'merangkak' sejauh tiga kilometer semata-mata untuk ke sekolah.

Setiap pagi, tanpa merungut, dia mengenakan pakaian seragamnya lalu memakai sepasang selipar di dua belah tapak tangannya. Kemudian, dia akan menyalam bapanya di depan pintu rumah lalu menguntumkan senyuman manis.

(Gambar: Arie Basuki/Merdeka.com)

Mujur, Adul mempunyai rakan-rakan yang berada di sisinya di saat-saat dia menjalani kehidupan penuh liku.

Tiga kilometer semestinya kedengaran perjalanan jauh bagi mereka yang perlu berjalan kaki. Bagaimanapun, Adul lakukan itu hampir setiap hari! Malah, dia perlu berjalan di atas tanah yang tidak rata sehingga kadangkala terpaksa memanjat batu-bata di kawasan kampungnya ketika ulang-alik sekolah.

"Ingin sekolah sampai kuliah. Jadi anggota bomba supaya dapat tolong orang," kata Adul yang membuat ramai di sekitarnya termasuk Presiden Jokowi tidak teragak-agak mengendongnya di depan khalayak ramai.

Dalam pada itu, seorang jurucakap pihak berkuasa memberitahu media tempatan bahawa pemerintah Indonesia kian giat memberi sokongan kepada golongan kurang upaya seperti Adul.

"Perhatian pemerintah kepada golongan kurang upaya saat ini semakin baik. Tentunya harapan golongan ini adalah kemudahan-kemudahan yang lebih mesra pengguna," ujar Encik Suyono Yusuf. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan