Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Budak 3 tahun tidak sengaja tempah 100 mangkuk mi gara-gara lapar

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Jilin, China secara tidak sengaja menempah 100 mangkuk 'zha jiang mian', iaitu mi dengan pes kacang soya, menerusi telefon bimbit ayahnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Budak 3 tahun tidak sengaja tempah 100 mangkuk mi gara-gara lapar

Bapa kepada budak perempuan ini menyangkakan anaknya memenangi 100 mangkuk mi daripada menggunakan platform tempahan makanan tetapi rupa-rupanya dia tertambah dua angka sifar pada pesanannya. (Petikan video: YouTube)

Diterbitkan : 26 Jun 2021 10:46PM Dikemas Kini : 26 Jun 2021 10:51PM

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Jilin, China secara tidak sengaja menempah 100 mangkuk 'zha jiang mian', iaitu mi dengan pes kacang soya, menerusi telefon bimbit ayahnya.

Ayah budak itu pada mulanya menyangka dia memenangi mi tersebut menerusi satu platform tempahan makanan. Namun selepas memeriksa telefonnya, dia menyedari rupa-rupanya anak perempuannya tertambah dua angka sifar pada pesanannya, menurut laporan laman Sohu.com.

Apabila ditanya mengapa dia memesan begitu banyak mangkuk, kanak-kanak perempuan itu dengan tersipu-sipu malu menjawab bahawa dia sedang lapar.

Pekerja penghantaran terpaksa melakukan sekurang-kurangnya tujuh perjalanan untuk menghantar kesemua mangkuk mi itu ke rumah lelaki berkenaan yang terletak di tingkat 13.

Lelaki itu, yang memuat naik rakaman video menunjukkan rumahnya yang dipenuhi mangkuk mi, berkata mujur anak perempuannya hanya memesan 100 mangkuk! Video tersebut kini menjadi tular.

"Sekiranya dia menekan butang sifar empat kali, rumah pasti tidak dapat memuatkan kesemuanya," katanya menerusi rakaman video itu.

Mi yang banyak itu bagaimanapun tidak terbuang. Lelaki itu menyimpan lapan mangkuk untuk dikongsi bersama anggota keluarga sementara selebihnya dikongsi dengan para pekerja pembersihan di kawasan perumahannya.

Sumber : Today/TQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan