Images
  • bird flu india
    Kakitangan di New Delhi, India mengendalikan burung-burung di sebuah tasik pada 11 Jan 2021 ekoran penularan selesama burung. (Gambar: AP)

Budak 11 tahun penduduk pertama India maut akibat selesema burung

NEW DELHI: Seorang budak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia di India akibat selesema burung jenis H5N1, menjadikannya kematian pertama di negara tersebut.

Kematian itu sekali gus menarik perhatian kepada risiko baru yang berpotensi dihadapi oleh negara dengan jumlah penduduk kedua tertinggi di dunia yang juga sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

Kanak-kanak itu dimasukkan ke Institut Sains Perubatan All India yang terkenal di New Delhi pada 2 Julai dan meninggal dunia pada Selasa (20 Jul) setelah mengalami kegagalan beberapa organ, menurut kenyataan pemerintah.

Para kakitangan kesihatan yang merawat mangsa serta keluarganya sudahpun diasingkan dan pihak berkuasa turut menjalankan pengesanan kontak, tambah kenyataan itu.

Di Haryana, kampung halaman kanak-kanak lelaki itu yang terletak di utara India, Jabatan Penternakan Haiwan tidak menemui sebarang kes yang disyaki selesema burung dan telah meningkatkan pemantauannya, menurut kenyataan tersebut.

India menyaksikan lebih enam penularan selesema burung pada ayam itik sejak dua dekad yang lalu, namun semuanya berjaya dikawal tanpa sebarang jangkitan yang merebak ke manusia dilaporkan di negara tersebut sebelum ini.

- Reuters/TQ/tq

Top