Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Brunei tidak jadi kuatkuasakan hukuman mati

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Ahad (5 Mei) memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggantungan terhadap hukuman mati yang diperkenalkan dalam undang-undang baru yang melarang hubungan seks sesama jenis. 

Anggaran Waktu Membaca:
Brunei tidak jadi kuatkuasakan hukuman mati

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 06 May 2019 01:37PM Dikemas Kini : 06 May 2019 01:45PM

BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Ahad (5 Mei) memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggantungan terhadap hukuman mati yang diperkenalkan dalam undang-undang baru yang melarang hubungan seks sesama jenis. Ini bagi meredakan ketegangan akibat reaksi negatif merata dunia, yang diterajui oleh selebriti-selebriti seperti George Clooney dan Elton John.

Brunei mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila ia memperkenalkan undang-undang Syariah pada 3 Apr, yang mengenakan hukuman mati, termasuk merejam batu terhadap pesalah bagi kesalahan-kesalahan meliwat, berzina dan merogol.

Brunei sudah berkali-kali mempertahankan haknya untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut yang sudah dikuatkuasakan secara bertahap-tahap sejak 2014.

Namun, dalam respons yang jarang dikeluarkan terhadap kritikan yang menyasarkan negara yang kaya dengan sumber minyak itu, Sultan Hassanal Bolkiah berkata, hukuman mati tidak akan dikenakan dalam pelaksanaan Perintah Kanun Jenayah Syariah (SPCO).

Terdapat beberapa jenayah sebelum ini yang boleh dikenakan hukuman mati di Brunei, termasuk bagi kesalahan membunuh dengan niat dan mengedar dadah, tetapi hukuman mati tidak pernah dilaksanakan sejak 1990-an.

"Saya sedar terdapat banyak pertanyaan dan salah tanggap mengenai pelaksanaan SPCO. Namun, kami percaya bahawa, apabila ia dihuraikan kelak, nilai undang-undang itu akan menjadi lebih jelas," kata Sultan Hassanal Bolkiah dalam ucapan yang disampaikan menjelang bulan Ramadan.

"Selama lebih dua dekad, pada hakikatnya, kami melaksanakan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati bagi kes-kes di bawah undang-undang awam. Ini juga akan diaplikasikan terhadap kes-kes di bawah SPCO yang menyediakan ruang lebih luas untuk menggantung hukuman."

Sultan yang pernah mengemudi pesawat Boeing 747 miliknya untuk menemui mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, kerap dilemparkan dengan kritikan oleh para aktivis yang menyifatkan kerajaannya sebagai pemerintah kuku besi, tetapi beliau jarang sekali memberikan respons.

Pejabat sultan mengeluarkan penterjemahan rasmi ucapan beliau dalam bahasa Inggeris. Namun ini bukan amalan yang lazim dilakukan.

"Kedua-dua undang-undang awam dan undang-undang Syariah bertujuan untuk memelihara kedamaian dan keharmonian negara," kata Sultan Hassanal Bolkiah.

"Undang-undang itu mustahak untuk mempertahankan prinsip moral dan tata susila negara dan juga privasi individu."

Penguatkuasaan undang-undang Syariah, yang dikutuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mencetuskan boikot oleh selebriti-selebriti dan kumpulan-kumpulan hak asasi terhadap hotel-hotel milik Sultan Hassanal Bolkiah, termasuk The Dorchester di London dan Beverley Hills Hotel di Los Angeles.

Beberapa syarikat berbilang negara turut melarang kakitangan mereka daripada melanggani hotel-hotel milik Sultan Hassanal Bolkiah, dan beberapa syarikat pelancongan juga sudah berhenti mempromosikan Brunei sebagai destinasi pelancongan.

Sumber : Reuters/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan