Images
  • british airways
    Pesawat British Airways di Lapangan Terbang Heathrow, barat London, Britain. (Gambar fail: Hannah McKay/REUTERS)

British Airways batalkan hampir semua penerbangan berikutan mogok juruterbang

LONDON: British Airways (BA) menyatakan pada Isnin (9 Sep) bahawa ia telah membatalkan hampir kesemua penerbangannya sedang para juruterbang memulakan mogok 48 jam pada Isnin (9 Sep).

Syarikat penerbangan UK itu dan seramai 4,300 juruterbangnya bertikai mengenai isu gaji sejak sembilan bulan lalu dan ini mungkin menjejas atau merubah rancangan perjalanan hampir 300,000 penumpang.

Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan British (BALPA) bulan lalu memberi notis tiga hari kepada British Airways untuk melaksanakan tindakan perindustrian pada September, iaitu mogok pertama yang pernah diadakan oleh para juruterbang BA.

Susulan daripada mogok pada Isnin dan Selasa, satu lagi tindakan perindustrian akan dijadualkan pada 27 September nanti.

Kedua-dua pihak menyatakan mereka bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Menurut BALPA, BA seharusnya berkongsi lebih banyak keuntungan yang diraih bersama juruterbangnya manakala syarikat berkenaan pula mendakwa tindakan mogok seumpama itu tidak wajar dilakukan kerana gaji ditawarkan adalah memadai.

Ribuan penumpang terpaksa mencari jalan alternatif bagi meneruskan perjalanan mereka. BA pula dikecam berhubung cara mereka menangani komunikasi dengan para pelanggan sebelum mogok itu berlaku.

Syarikat penerbangan itu menolak tawaran baru yang dikemukakan BALPA pada minggu lalu dengan menyifatkannya sebagai "usulan saat akhir". BALPA menyatakan pihaknya akan membatalkan mogok itu minggu ini sekiranya BA mempertimbangkan tawaran itu. 

- REUTERS/FZ/fz

Top