Images
  • pm britain boris johnson
    (Gambar: AFP)

Britain tarik balik peraturan jarak sosial COVID-19 pada Jun

LONDON: Britain akan menarik balik peraturan jarak sosial COVID-19 yang memerlukan orang ramai untuk berdiri sekurang-kurangnya pada jarak satu meter antara satu sama lain, menjelang akhir bulan depan, kata Perdana Menteri Boris Johnson pada Isnin (3 Mei).

Kerajaan Britain melakarkan peta hala tuju untuk menamatkan sekatan pergerakan secara berperingkat sedang program vaksinasi besar-besaran membantu mengekang jangkitan.

21 Jun telah ditetapkan sebagai tarikh untuk peraturan jarak sosial ditamatkan.

Apabila ditanya tentang kemungkinan ini berlaku semasa satu lawatan kempen di utara England, Encik Johnson berkata: "Saya rasa kita mempunyai peluang yang baik, satu peluang baik untuk menarik balik langkah jarak satu meter lebih."

Peraturan sekurang-kurangnya satu meter bermakna orang ramai perlu mengekalkan sekurang-kurangnya jarak tersebut antara mereka dan mengambil langkah berjaga-jaga lain bagi mencegah penularan jangkitan. Ia dikecam hebat oleh industri pelayanan.

Peringkat seterusnya dalam rancangan pembukaan semula kerajaan adalah pada 17 Mei, apabila sekatan bagi perjalanan ke luar negara dijangka akan dilonggarkan tetapi tidak ditarik balik.

Encik Johnson menekankan pendekatan berhati-hati menjelang tarikh akhir itu.

"Kami ingin melaksanakan sebahagian pembukaan semula pada 17 Mei, namun saya tidak fikir para penduduk negara ini mahu melihat lonjakan jangkitan penyakit dari tempat-tempat lain. Saya tentunya tidak mahu.

"Kita perlu bersikap benar-benar tegas dan kita perlu amat berwaspada," katanya. 

- Reuters/HA/ha

Top