Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Britain kekurangan bekalan kerepek kentang kegemaran rakyatnya

Britain kini sedang berdepan krisis kekurangan bekalan kudapan kegemaran negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:

LONDON: Britain kini sedang berdepan krisis kekurangan bekalan kudapan kegemaran negara itu.

Setelah mengharungi pembelian panik di stesen-stesen minyak dan harga sistem pemanasan yang melambung tinggi, para penduduk Britain kini perlu berdepan satu lagi krisis - iaitu kekurangan bekalan kerepek kentang, salah satu daripada kudapan kegemaran penduduk negara itu.

Rak-rak untuk meletakkan kerepek kentang di pasar raya dan kedai-kedai di merata Britain kelihatan kosong menyusuli satu kemas kini sistem IT di Walkers, syarikat pengeluar kerepek kentang yang terbesar di Britain. Kekurangan bekalan itu mungkin berlarutan selama beberapa minggu.

Walkers, yang dimiliki oleh PepsiCo menyatakan bahawa walaupun isu-isu berhubung kemas kini sistem itu sudah dibaiki, kilang-kilang tidak akan meningkatkan pengeluaran sepenuhnya sehingga hujung November. Ini bermakna terdapat kekurangan bekalan dan jenis kerepek kentang yang dijual di kedai-kedai runcit.

"Satu kemas kini terhadap sistem IT yang dijalankan baru-baru ini menjejas bekalan sesetengah produk keluaran kami. Kilang-kilang kami masih menghasilkan kerepek kentang dan kudapan namun pada skala yang lebih rendah," kata jurucakap bagi Walkers, yang berpangkalan di Leicester, bahagian tengah England.

"Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan pengeluaran dan bekalan kerepek kentang kegemaran ramai di pasar raya. Kami benar-benar mohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku."

Walkers memberi keutamaan kepada pengeluaran perisa kerepek kentang yang popular termasuk 'Cheese & Onion', 'Ready Salted' dan 'Salt & Vinegar'.

Namun kekurangan kerepek kentang berjenama Walkers mendorong para pelanggan untuk membeli kerepek kentang daripada jenama lain, sekali gus mengosongkan rak-rak bahagian kerepek kentang di pasar raya dan kedai.

Secara purata, penduduk Britain memakan sekitar dua beg kerepek kentang sebesar 25 gram setiap minggu dan 141,000 tan metrik kerepek kentang dijual setiap tahun di negara itu, menurut data daripada pengkaji pasaran Kantar. 

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan