Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Britain gesa Majlis Keselamatan PBB ambil tindakan terhadap krisis Yaman

Menteri Luar Britain Jeremy Hunt berkata pada Isnin (5 Nov) bahawa beliau akan membuat gesaan di Majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tindakan baru diambil untuk menghentikan pertempuran di Yaman dan mencari huraian politik bagi menamatkan perang tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Britain gesa Majlis Keselamatan PBB ambil tindakan terhadap krisis Yaman

Konflik Yaman mengorbankan sekurang-kurangnya 10,000 orang dan mencetuskankan krisis kemanusiaan paling teruk di dunia. (Gambar: Khaled Abdullah/Reuters)

Diterbitkan : 05 Nov 2018 12:11PM Dikemas Kini : 05 Nov 2018 12:16PM

LONDON: Menteri Luar Britain Jeremy Hunt berkata pada Isnin (5 Nov) bahawa beliau akan membuat gesaan di Majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tindakan baru diambil untuk menghentikan pertempuran di Yaman dan mencari huraian politik bagi menamatkan perang tersebut.

Yaman, salah sebuah negara Arab paling miskin, terlibat dalam peperangan selama hampir empat tahun dengan para pemberontak Houti yang disokong kerajaan Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara barat.

Konflik itu mengorbankan sekurang-kurangnya 10,000 orang sejauh ini dan mencetuskankan krisis kemanusiaan paling teruk di dunia.

Encik Hunt bersetuju dengan Utusan Khas Amerika Syarikat, Martin Griffiths, bahawa sudah tepat masanya untuk Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan bagi menyokong usaha yang diterajui PBB, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ehwal Luar Britain. Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran langkah yang akan diambil oleh Britain.

"Tindakan yang akan diambil oleh UK di Majlis Keselamatan PBB akan membantu mencapai matlamat untuk memastikan gencatan senjata dilaksanakan sepenuhnya kelak," menurut kenyataan itu.

Para diplomat PBB, yang identiti mereka tidak didedahkan, berkata bahawa Britain sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat berhubung draf ketetapan bagi menghentikan peperangan di Yaman. Ini selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, pada minggu lalu menggesa agar pertempuran di Yaman dihentikan.

Britain menyatakan bahawa gencatan senjata hanya dapat memberi kesan jika ia disokong oleh perjanjian politik antara kedua-dua pihak yang terlibat.

Encik Griffiths sedang berusaha untuk mengembalikan rundingan damai yang gagal pada September lalu.

Pada minggu lalu, Encik Griffiths berkata beliau berharap rundingan dapat diadakan semula dalam tempoh sebulan. Beliau dijadual memberikan taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB pada 16 November.

Amerika Syarikat dan Britain sudah menggesa agar konflik itu dihentikan, sekaligus meningkatkan tekanan terhadap Arab Saudi sedang ia menghadapi kritikan sedunia berhubung pembunuhan wartawan warga Saudi, Jamal Khashoggi, di konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.

Encik Hunt turut menyokong gesaan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, yang meminta agar peperangan itu dihentikan sambil mengatakan bahawa perkembangan politik baru-baru ini memberi harapan bahawa ia dapat dihuraikan.

"Buat julung-julung kalinya, terdapat peluang bagi kedua-dua pihak untuk dibawa ke meja rundingan, menghentikan pembunuhan dan mencari huraian politik yang merupakan huraian jangka panjang bagi menghentikan bencana ini," kata Encik Hunt.

"UK akan menggunakan segala pengaruhnya untuk menggesa agar pendekatan sedemikian diambil."  

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan