Images
  • boris
    Perdana Menteri Britain Boris Johnson memakai pelitup muka. (Gambar: AFP)

Britain gagal bertindak pantas pada awal krisis COVID-19: Siasatan parlimen

LONDON: Kelengahan pemerintah Britain dalam melaksanakan perintah berkurung ketika COVID-19 melanda tahun lalu adalah "salah satu kegagalan kesihatan awam yang paling penting" dalam sejarah negara itu, menurut satu laporan parlimen hari ini (12 Okt).

Dalam satu penilaian yang membuktikan kegagalan tersebut, satu kumpulan silang parti Anggota Parlimen Britain mendapati bahawa perancangan pandemik kerajaan terlalu tertumpu kepada selesema dan gagal belajar daripada wabak SARS, MERS dan Ebola sebelumnya.

Kajian itu, yang diterbitkan oleh dua jawatankuasa pengawas parlimen setelah perbicaraan selama berbulan-bulan, dilakukan sebelum siasatan awam bebas yang bermula tahun depan mengenai cara kerajaan mengendalikan koronavirus.

Britain dilanda teruk krisis koronavirus, dengan hampir 138,000 kematian COVID-19 sejak Mac tahun lalu, menimbulkan persoalan mengapa negara itu mengalami nasib lebih buruk daripada negara-negara lain.

AP dalam dua jawatankuasa parlimen berkata bahawa kerajaan menunggu terlalu lama untuk melaksanakan langkah-langkah sekatan pada awal 2020.

Para penasihat terkemuka menggesa "dasar yang sudah dirancang terlebih dahulu" untuk mengambil "pendekatan bertahap-tahap dan berperingkat" bagi campur tangan seperti jarak selamat, pengasingan dan perintah berkurung, menurut laporan itu.

Pendekatan itu terbukti "salah" dan menyebabkan kematian, kata mereka.

"Keputusan mengenai perintah berkurung dan jarak selamat pada minggu-minggu awal pandemik - dan nasihat yang membawa kepadanya - adalah salah satu kegagalan kesihatan awam yang paling penting yang pernah dialami oleh United Kingdom," tulis mereka lagi.

"PEMIKIRAN KELOMPOK"

Perancangan pemerintah untuk pandemik juga tidak menepati sasaran dan terlalu "sempit dan tidak fleksibel berdasarkan model selesema", sementara menteri dan penasihat dituduh oleh beberapa pakar sebagai mengamalkan "pemikiran kelompok", menurut laporan itu.

"Kerajaan mengambil serius nasihat saitifik tetapi seharusnya ada lebih banyak cabaran daripada semua pihak terhadap kata sepakat awal United Kingdom yang melengahkan pelaksanaan perintah berkurung yang lebih menyeluruh," katanya.

Britain juga terlalu lambat melaksanakan pengasingan individu yang dijangkiti dan anggota serumah mereka serta melakukan kesilapan dengan melaksanakan "kawalan ringan di sempadan" hanya terhadap negara-negara dengan kadar COVID-19 yang tinggi.

Panel itu mengambil bukti daripada pelbagai tokoh, termasuk Dominic Cummings, bekas penasihat utama PM Boris Johnson, yang mengkritik cara bekas bosnya menangani krisis itu.

PM Johnson juga dikritik atas keengganannya untuk memulakan siasatan awam lebih awal.

- AFP/TQ/tq

Top