Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bolehkah pesakit dalam keadaan tidak sedar selama lebih 10 tahun melahirkan bayi?

Berita mengenai seorang wanita yang melahirkan seorang bayi lelaki pada 29 Disember lalu meskipun beliau dalam keadaan vegetatif selama lebih sedekad mencetuskan pelbagai reaksi dari merata Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Bolehkah pesakit dalam keadaan tidak sedar selama lebih 10 tahun melahirkan bayi?

(Gambar hiasan: Janko Ferlič/Unsplash)

Diterbitkan : 18 Jan 2019 11:36AM Dikemas Kini : 17 Feb 2019 10:29PM

ARIZONA: Berita mengenai seorang wanita yang melahirkan seorang bayi lelaki pada 29 Disember lalu meskipun beliau dalam keadaan vegetatif selama lebih sedekad mencetuskan pelbagai reaksi dari merata Amerika Syarikat.

Peristiwa yang jarang berlaku itu menimbulkan pelbagai tanda tanya, termasuk bagaimanakah seorang wanita yang dalam keadaan tidak sedar boleh melahirkan seorang bayi?

“Ia jarang berlaku,” kata Dr Deborah Feldman, yang pernah terdengar mengenai “dua atau tiga kes seumpama itu” dalam tempoh dua dekad lalu.

Malah 20 tahun lalu, Dr Feldman, Pengarah Perubatan Janin di Kumpulan Perubatan Jagaan Kesihatan Hartford, sendiri pernah merawat seorang wanita yang mati otak selepas mengalami serangan angin ahmar ketika hamil dalam trimester kedua. Meskipun mati otak, wanita itu selamat melahirkan seorang bayi.

Dalam kes terbaru ini, “pesakit itu sebenarnya mempunyai organ-organ yang masih berfungsi seperti biasa,” kata Dr Feldman, seperti yang dipetik oleh agensi berita CNN. “Saya boleh mengatakan bahawa dari segi biologi, badan beliau masih lagi berfungsi seperti normal dan berupaya melahirkan seorang bayi sihat."

Oleh kerana wanita berkenaan adalah seorang mangsa penderaan seksual, CNN tidak dapat mendedahkan identitinya. Wanita itu merupakan seorang pesakit yang diletakkan di bawah jagaan jangka panjang di sebuah pusat perubatan di Phoenix.

Jika seorang individu berada dalam keadaan koma, beliau biasanya tidak sedarkan diri bagi tempoh yang panjang, meskipun berupaya untuk bernafas secara sendirian. Jika si pesakit terus koma, beliau dianggap sebagai berada dalam “keadaan vegetatif berlarutan”.

Seorang pesakit mati otak bagaimanapun berada dalam keadaan tidak sedar dan memerlukan alat bantuan pernafasan kerana tidak lagi berupaya bernafas secara sendirian.

Meskipun agak pelik mengapa tiada seorang pun yang menyedari bahawa pesakit berkenaan hamil, ramai wanita sihat dikatakan berupaya melahirkan bayi tanpa menerima sebarang jagaan pranatal.

“Amat sukar untuk mengetahui” sama ada wanita itu menyedari bahawa beliau sebenarnya hamil (atau sedang bersalin) ataupun sama ada beliau dapat merasakan kesakitan, kata Dr Feldman, tanpa mengetahui betapa teruknya kecederaan otak yang dialami wanita berkenaan.

“Saya tidak boleh membuat sebarang spekulasi mengenai apa yang dirasai oleh pesakit itu, sama ada beliau terpaksa mengerang kesakitan, atau sama ada beliau sedar tentang apa yang sedang berlaku,” kata Dr Feldman.

CNN melaporkan bahawa Thaddeus Masone Pope, Pengarah Institut Undang-Undang Perubatan di Sekolah Undang-Undang Mitchell Hamline di Minnesota, menghantar satu kiriman emel bagi mengatakan bahawa kes itu menarik perhatian kepada isu keselamatan pesakit yang diletakkan di bawah jagaan jangka panjang.

“Sudah tentu isu utama adalah jenayah yang dilakukan sehingga menyebabkan mangsa hamil,” kata Encik Pope yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai kes tersebut, sambil menambah kes itu dengan jelas menunjukkan bahawa hubungan seks itu dilakukan secara paksa. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan