Images
  • bill and melinda gates
    (Gambar: AP)

Bill dan Melinda Gates umum akan bercerai

SEATTLE: Pengasas Microsoft Bill Gates dan isterinya Melinda mengumumkan pada Isnin (3 Mei) bahawa mereka akan bercerai setelah 27 tahun berumahtangga.

Pengumuman daripada salah satu pasangan paling kaya di dunia itu, dengan anggaran nilai bersih sekitar AS$130 bilion (S$172 bilion), dibuat dalam satu kenyataan media di Twitter.

"Setelah berfikir panjang dan banyak usaha dalam hubungan kami, kami memutuskan untuk menamatkan perkahwinan kami," menurut pasangan itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik pada akaun Twitter Bill Gates, yang merupakan pengasas bersama Microsoft.

Pengasas bersama Microsoft itu dan isterinya, yang melancarkan yayasan amal terbesar di dunia, berkata bahawa mereka akan terus bekerjasama di Yayasan Bill & Melinda Gates.

"Kami tetap berkongsi kepercayaan terhadap misi itu dan kami akan terus bekerjasama di yayasan itu, namun kami tidak lagi percaya bahawa kami boleh berkembang bersama sebagai satu pasangan dalam fasa kehidupan seterusnya," menurut pasangan itu dalam satu kenyataan.

"Kami telah membesarkan tiga anak luar biasa dan menubuhkan sebuah yayasan yang bekerjasama dengan individu di seluruh dunia bagi membolehkan semua orang menjalani kehidupan yang sihat dan produktif.

"Kami mohon diberi ruang dan privasi untuk keluarga kami sedang kami mula melayari kehidupan baru ini."

Butiran kewangan berhubung keputusan itu tidak segera diketahui.

- Agensi berita/HA/ha

Top