Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Biden dahului Trump di Pennsylvania dan Georgia, semakin hampir ke Rumah Putih

Encik Biden mendahului dengan 264 berbalas Encik Trump, 214, dalam undi badan perwakilan pemilih dari negeri ke negeri yang menentukan pemenang, menurut Associated Press.

Anggaran Waktu Membaca:
Biden dahului Trump di Pennsylvania dan Georgia, semakin hampir ke Rumah Putih

Calon Democrat, Joe Biden. (Gambar: Reuters/Kevin Lamarque)

Diterbitkan : 07 Nov 2020 07:45AM Dikemas Kini : 07 Nov 2020 07:47AM

WASHINGTON: Calon Democrat, Joe Biden, kini semakin mendahului Presiden Donald Trump di negeri-negeri yang menyaksikan persaingan sengit, Georgia dan Pennsylvania pada Jumaat (6 Nov). Ini mencerahkan lagi peluang Encik Biden untuk menduduki Rumah Putih tiga hari selepas undian ditutup.

Encik Biden mendahului dengan 264 berbalas Encik Trump, 214, dalam undi badan perwakilan pemilih dari negeri ke negeri yang menentukan pemenang, menurut Associated Press.

Sekiranya beliau menang 20 undi badan perwakilan pemilih di Pennsylvania atau 16 undi badan perwakilan pemilih di Georgia, Encik Biden akan meraih 270 undi yang diperlukan untuk menjadi Presiden.

Beliau juga mendahului saingan di Nevada dengan jurang tipis. Enam undi badan perwakilan pemilihnya akan membolehkan beliau meraih 270 undi secara keseluruhan.

Sedang Encik Biden semakin hampir meraih kemenangan, beliau dijangka berucap pada Jumaat malam, menurut dua sumber yang tahu akan rancangannya.

Beliau mungkin menyampaikan ucapan kemenangan, memandangkan pembantunya berkata Encik Biden kelihatan berada di ambang kemenangan.

Sementara itu, Encik Trump pula tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengaku kalah menerusi kenyataannya pada Jumaat bahawa beliau akan terus membuat dakwaan-dakwaan tanpa bukti mengenai penipuan dalam pilihan raya tersebut.

"Dari mula lagi kami sudah mengatakan bahawa semua undi sah mesti dikira dan semua undi tidak sah tidak boleh dikira. Namun kami berdepan hambatan kepada prinsip asas ini daripada Democrat setiap masa," tegas Encik Trump dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kempennya.

"Kami akan menuntut proses ini menerusi setiap aspek undang-undang untuk memberi jaminan bahawa rakyat Amerika yakin dengan pemerintah kita," kata Encik Trump.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Encik Trump menyelar proses demokratik dengan muncul di rumah Putih pada Khamis (6 Nov) untuk membuat kenyataan palsu bahawa pilihan raya itu "dicuri" daripadanya.

Di Pennsylvania dan Georgia, Encik Biden mendahului Encik Trump menerusi undi pos di negeri-negeri yang dikuasai Democrat termasuk Philadelphia dan Atlanta.

Ratusan penyokong Democrat pula berhimpun di luar pusat pengiraan undi di Philadelphia, memakai baju kuning yang tertera "Kira Setiap Undi".

Di Detroit, sekumpulan penyokong Encik Trump, sebahagiannya bersenjata, mengadakan bantahan di luar tempat kiraan undi, sambil mengibarkan bendera dan melaungkan-laungkan "Lawan!".

Di Rumah Putih pula, tempat presiden memantau laporan-laporan di televisyen dan bercakap dengan para penasihat menerusi telefon, keadaanya suram.

Seorang penasihat berkata, jelas bahawa keputusan pilihan raya itu tidak berpihak kepada Encik Trump tetapi beliau masih belum bersedia untuk mengaku kalah.

Kempennya juga sedang berusaha memfailkan beberapa tuntutan mahkamah di beberapa negeri yang menyaksikan persaingan sengit. Namun para pakar undang-undang menyifatkan tindakan-tindakan itu tidak mungkin berjaya mengubah keputusan pilihan raya kelak.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan