Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Biden berdepan cabaran besar pulihkan demokrasi dan perpaduan AS

Presiden baru Amerika Syarikat Joe Biden berdepan dengan cabaran besar untuk memulihkan semula sistem demokrasi dan perpaduan negara itu yang agak kucar-kacir di bawah pentadbiran pendahulunya, bekas Presiden Donald Trump.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Presiden baru Amerika Syarikat Joe Biden berdepan dengan cabaran besar untuk memulihkan semula sistem demokrasi dan perpaduan negara itu yang agak kucar-kacir di bawah pentadbiran pendahulunya, bekas Presiden Donald Trump.

Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat berkata demikian kepada BERITAmediacorp berdasarkan ucapan sulung Presiden Biden pada Khamis lalu.

Walaupun landskap politik Amerika Syarikat sudah reda selepas rusuhan di Capitol, tanggungjawab yang perlu dipikul Presiden Biden amat berat sekali.

Berdasarkan ucapan sulung Presiden Amerika itu, Dr Norshahril berkata beliau percaya isu perpaduan menjadi keutamaan pentadbiran Presiden Biden.

Ini memandangkan bibit-bibit perpecahan politik di Amerika sudah berlaku agak lama dan memuncak di bawah pentabiran Donald Trump, Dr Norshahril berpendapat Presiden Biden akan mengambil masa yang lama untuk mencari huraian sebaiknya.

"Isyarat yang diberikan oleh Amerika ini penting oleh kerana perpecahan yang berlaku ini juga menyebabkan sentimen dunia atau persepsi masyarakat dunia tentang demokrasi Amerika Syarikat itu sendiri, sebuah negara yang mengamalkan keterbukaan, sistem kebebasan bersuara tiba-tiba dilihat sebagai satu sistem yang ganas, yang menggalakkan rusuhan kaum, yang menggalakkan diskriminasi terhadap golongan minoriti," ujar beliau.

PERUBAHAN STRUKTURAL DAN HUBUNGAN LUAR NEGARA

Satu lagi keprihatinan yang perlu ditangani Presiden Biden, kata Dr Norshahril, adalah terhadap perubahan struktur yang diperlukan Amerika.

Bagi mengembalikan kegemilangan negara itu, Dr Norshahril menekankan peri pentingnya Presiden Biden mendapat sokongan tokoh politik serta penjawat awam negara itu.

Beliau menambah: "Yang perlu dilihat adalah dasar-dasar yang akan diketengahkan di dalam masa satu dua minggu ini atau disebut sebagai 'Executive Orders' yang diberikan oleh Presiden sama ada beliau serius mengembalikan persepsi masyarakat dunia dan juga masyarakat Amerika terhadap sistem Amerika Syarikat itu sendiri. Justeru, mungkin satu dua minggu yang akan datang ini adalah masa penentu sejauh mana Encik Biden dapat menyatukan rakyat Amerika."

Sejak mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden ke-46 Amerika, Presiden Biden telah mengubah pelbagai dasar Encik Trump termasuk sekatan perjalanan terhadap negara majoriti Islam dan dasar berhubung pandemik COVID-19dan perubahan iklim.

Namun begitu, Dr Norshahril percaya banyak lagi yang menantikan agenda seterusnya Presiden Amerika itu.

"Apa yang perlu dilakukan oleh Encik Biden dan Kamala Harris adalah untuk mungkin menggantikan dasar-dasar dan pertama adalah untuk membina semula keyakinan terhadap institusi-institusi global di antaranya adalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang kita lihat sepanjang pentadbiran Trump seperti diperlekehkan," jelasnya.

Seperti pemimpin terdahulu, Presiden Biden juga mempunyai pelan 100 hari pertama selepas mengambil alih jawatan di Rumah Putih.

Berdasarkan beberapa arahan yang dilaksanakan seperti rancangan pengedaran vaksin COVID-19, Presiden Biden nampaknya sudah mula menunaikan janjikannya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan