Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Biden bakal dedah perubahan besar-besaran dasar imigresen

Bakal presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan melonggarkan pendekatan Encik Donald Trump terhadap pendatang asing tanpa dokumen.

Anggaran Waktu Membaca:
Biden bakal dedah perubahan besar-besaran dasar imigresen

Ejen rondaan sempadan menahan seorang pendatang asing tanpa dokumen sah. (Gambar: AFP/JOHN MOORE)

Diterbitkan : 20 Jan 2021 01:08PM Dikemas Kini : 20 Jan 2021 01:15PM

WASHINGTON: Bakal presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan melonggarkan pendekatan Encik Donald Trump terhadap pendatang asing tanpa dokumen dalam satu perubahan besar-besaran yang akan diperkenalkan pada hari pertama beliau menyandang jawatan itu nanti.

Demikian menurut calon Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Encik Biden, Alejandro Mayorkas, pada Selasa (19 Jan).

Encik Mayorkas yang berasal dari Cuba memberitahu panel senat bahawa perubahan-perubahan tersebut termasuk laluan kerakyatan bagi jutaan penduduk yang sudah lama menetap di Amerika namun tidak mempunyai sebarang dokumen dan mungkin juga suaka politik kepada mereka yang melarikan diri daripada penderaan dan keganasan.

"Bakal presiden Biden komited untuk membentangkan kepada Kongres pada hari pertama, rang undang-undang perubahan imigresen, yang akan akhirnya memperbetul apa yang saya fikir kita semua setuju, adalah sebuah sistem imigresen yang pincang," kata Encik Mayorkas kepada Senat Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri.

Encik Biden "sudah bersuara tentang perlunya laluan kerakyatan bagi individu-individu yang sudah berada di negara ini bertahun-tahun lamanya, yang sudah menyumbang kepada masyarakat kita dan kepada kemakmuran ekonomi negara ini," kata beliau.

Washington Post pula melaporkan bahawa Encik Biden akan mendedahkan pelbagai perubahan imigresen hari ini sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan.

Menurut akhbar itu, mereka termasuk laluan lapan tahun untuk mendapatkan kerakyatan bagi pendatang tanpa status sah dan meningkatkan jumlah kemasukan, yang sebelum ini dikurangkan oleh Encik Trump.

"Saya gembira untuk bekerjasama dengan Kongres bagi meluluskan undang-undang perubahan imigresen yang menyediakan laluan dan menyediakan huraian tetap kepada sebuah sistem yang jelas pincang," kata Encik Mayorkas.

Beliau memberitahu jawatankuasa tersebut, yang sedang meneliti pencalonnnya, bahawa jika diluluskan untuk menyandang jawatan sebagai setiausaha Keselamatan Dalam Negeri beliau akan menarik balik langkah-langkah ketat Encik Trump untuk menutup sempadan selatan AS.

Para pendatang yang tiba akan dibenarkan untuk memohon mendapatkan suaka politik dan kes mereka akan dikaji semula - satu proses yang dihentikan oleh Encik Trump, sehingga mengurangkan dengan banyaknya kemasukan pendatang asing ke negara itu.

Di bawah kepimpinan Encik Biden, "terdapat komitmen untuk mengikuti undang-undang suaka politik kami, untuk menguatkuasakan undang-undang suaka kami," kata beliau.

"Ini bermakna menyediakan bantuan kemanusiaan kepada individu-individu yang layak mendapatkannya."

Namun beliau menambah, "kerja membangunkan prasarananya akan memakan masa."

Encik Mayorkas mungkin berdepan cabaran pertamanya, jika diluluskan, dengan ribuan pendatang yang datang dari Honduras untuk sampai ke sempadan AS-Mexico.

Pada Isnin (18 Jan), pasukan-pasukan keselamatan mengarahkan karavan yang berhimpun di bandar Guatemala di Vada Hondo agar beredar dan pada Selasa ribuan orang dihantar pulang ke Honduras dengan menaiki bas dan lori.

Apabila ditanya apa yang akan dilakukannya jika mereka tiba di sempadan Amerika, Encik Mayorkas berkata undang-undang suaka akan diguna pakai.

"Ini bukan karavan pertama, yang kelihatannya mendekati sempadan dalam tempoh empat tahu lalu atau mungkin dalam tempoh 12 tahun lalu," kata beliau.

"Apabila mereka datang kepada kami di sempadan, kami akan menguatkuasakan undang-undang negara untuk menentukan sama ada mereka layak untuk dibantu di bawah undang-undang kemanusiaan kami atau tidak."

"Jika tidak layak untuk kekal berada di Amerika Syarikat, maka mereka tidak akan melepasinya."

HENTIKAN PEMBINAAN TEMBOK

Encik Mayorkas, 61 tahun, bekas pendakwa persekutuan yang mengendalikan khidmat imigresen, pernah menjadi timbalan setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri semasa pentadbiran Encik Barack Obama.

Beliau menyelia penguatkuasaan DACA, iaitu program Tundaan Tindakan bagi Ketibaan Kanak-Kanak, yang bertujuan menawarkan kerakyatan kepada jutaan penduduk Amerika yang sudah menetap lama di negara itu tetapi memasukinya secara tidak sah.

Jika diluluskan, Encik Mayorkas berkata beliau tidak membayangkan perubahan-perubahan mendadak kepada birokrasi
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dengan 240,000 kakitangan, yang misinya tertumpu kepada usaha melindungi negara daripada pengganasan dan serangan siber serta bencana alam.

Beliau menolak seruan oleh sesetengah anggota Democrat dan kumpulan hak asasi manusia agar menutup agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam, yang Encik Trump gunakan untuk memberkas puluhan ribu pendatang tanpa dokumen sah.

Encik Mayorkas menambah, Encik Biden merancang untuk menghentikan program Encik Trump untuk membina tembok di sempadan selatan. Namun beliau berkata alternatif untuk memperlahankan kemasukan pendatang termasuk langkah-langkah elektronik dan mungkin lebih ramai pegawai di beberapa kawasan.

Namun langkah tersebut mungkin berdepan cabaran.

Selepas mendengar penjelasan tersebut, Senator Republican Josh Hawley berkata beliau akan menahan sebarang usaha untuk mempercepat proses mendapatkan pengesahan.

"Encik Mayorkas belum memberikan penjelasan yang cukup tentang bagaimana beliau akan menguatkuasakan undang-undang persekutuan dan mengawal sempadan selatan memandangkan Encik Biden berjanji untuk melonggarkan langkah-langlah penguatkuasaan utama dan langkah-langkah keselamatan," kata beliau dalam satu kenyataan.

"Disebabkan ini, saya tidak boleh bersetuju untuk tidak menjalankan proses penilaian standard dan mempercepat pencalonan ini sedangkan masih banyak soalan yang belum terjawab."  

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan