Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bidaan bagi kapal mewah Equanimity bermula Isnin

Proses bidaan bagi kapal mewah 'Equanimity' milik Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low akan dijalankan dari 5 hingga 28 November.

Anggaran Waktu Membaca:
Bidaan bagi kapal mewah Equanimity bermula Isnin

Kapal Equanimity. (Gambar: Lai Seng Sin/ Reuters)

Diterbitkan : 26 Oct 2018 09:44PM Dikemas Kini : 26 Oct 2018 09:45PM

KUALA LUMPUR: Proses bidaan bagi kapal mewah 'Equanimity' milik Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low akan dijalankan dari 5 hingga 28 November.

Perkara ini didedahkan peguam bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Encik Ong Chee Kwan.

Menurut Encik Ong, Mahkamah Admiralti juga sudah meluluskan syarat dan ketentuan bagi proses bidaan yang akan berlangsung selama sebulan. Mereka yang berminat untuk membeli kapal mewah Equanimity itu perlu membayar cengkeram sebanyak AS$1 juta (S$1.38 juta).

"Ini bukan bidaan dalam talian, tidak semua individu boleh disertakan dalam senarai pembida, hanya mereka yang berkelayakan sahaja dan mereka perlu bayar deposit sebanyak S$1 juta. Ini bagi memastikan hanya pembeli yang serius sahaja datang membuat bidaan," katanya.

Encik Ong yang turut mewakili dua anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited mendedahkan perkara itu selepas pengurusan kes tersebut dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Khadijah Idris hari ini (26 Okt).

Encik Ong selanjutnya berkata, bagi pembida yang berkelayakan, mereka berpeluang melihat keadaan kapal mewah yang berharga AS$250 juta (S$345 juta) itu dan satu tarikh akan ditetapkan bagi tujuan itu.

MAKLUMAT LENGKAP BIDAAN AKAN DISIARKAN AKHBAR

"Mereka akan mendapat borang tawaran, menandakan mereka menerima syarat-syarat penjualan, ia akan dimasukkan ke dalam sampul dan akan dihantar kepada pegawai Mahkamah Admiraliti yang akan membukanya selepas bidaan,” katanya.

Beliau berkata laporan penilaian itu adalah sulit dan hanya syerif sahaja yang tahu dan akan menetapkan satu tarikh bagi membuat cabutan bidaan.

Encik Ong berkata maklumat lengkap berkenaan bidaan kapal mewah itu juga akan disiarkan dalam akhbar tempatan dan antarabangsa sama ada hari ini (26 Okt) atau esok (27 Okt). Individu yang berminat boleh menghubungi ejen pusat.

Bagi pembida yang berjaya dipilih oleh syerif mahkamah, beliau dikehendaki membayar 10 peratus daripada harga keseluruhan kapal dan baki 90 peratus dalam tempoh 10 hari kemudian.

Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal tersebut.

Mahkamah turut memutuskan dua syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited sebagai pemilik sah dan penerima manfaat kapal berkenaan. Sehubungan itu, secara tidak langsung kerajaan Malaysia adalah penerima manfaat kedua-dua syarikat itu. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan