Images
  • najwa
    (Gambar: Bernama)

Bicara kes saman cukai tidak dibayar terhadap anak Najib ditetapkan 27 Julai

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh perbicaraan kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap anak perempuan bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak iaitu Nooryana Najwa bagi menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta (S$3.36 juta) untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan tarikh perbicaraan itu semasa prosiding pengurusan kes berkenaan pada Selasa (30 Jun).

“Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 27 Julai depan, pukul 10 pagi. Pihak defenden perlu menghantar semua hujahan bertulis sebelum tarikh berkenaan,” katanya.

LHDN selaku plaintif memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan pada 24 Julai tahun lalu dengan menamakan Nooryana Najwa, 32, selaku defendan.

Penyataan tuntutan LHDN menyebut bahawa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

LHDN mendakwa sehingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36 (S$3,366,854.88)

- BERNAMA/NA/na

Top