Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bersatu masih utuh, tidak terkesan cubaan gugat kestabilan - Timbalan Presiden

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih utuh dan tidak terkesan dengan sebarang cubaan untuk menggugat kestabilannya, kata Timbalan Presidennya Encik Ahmad Faizal Azumu.

Anggaran Waktu Membaca:
Bersatu masih utuh, tidak terkesan cubaan gugat kestabilan - Timbalan Presiden

Encik Ahmad Faizal Azumu. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 05:41PM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 05:47PM

IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih utuh dan tidak terkesan dengan sebarang cubaan untuk menggugat kestabilannya, kata Timbalan Presidennya Encik Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata majoriti ahli Bersatu masih berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku presiden parti walaupun wujud dakwaan terdapat usaha untuk menarik ahli keluar dan menyertai parti baru bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Pada masa yang sama, Bersatu akan terus melipat-gandakan usaha menarik ahli-ahli baharu di seluruh negara ...Bersatu juga sedang dalam proses pemilihan parti dan ini juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkuatkan parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini (11 Ogos).

Beliau turut menggesa semua ahli Bersatu supaya memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Encik Muhyiddin untuk terus menumpukan usaha membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara tatkala masih “berperang” melawan pandemik COVID-19.

“Kini, presiden Bersatu adalah pemimpin utama kerajaan. Oleh itu, ini adalah masanya untuk kita memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat melalui kuasa pentadbiran kerajaan,” kata Encik Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak.

Di Kuala Lumpur Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Encik Mohd Redzuan Md Yusof berkata tindakan mereka yang keluar daripada parti itu tidak menjejaskan perancangan bagi persidangan sayap Armada, Srikandi serta Perhimpunan Agung Tahunan parti.

Beliau berkata semua urusan parti akan berjalan seperti dirancang dengan persidangan Armada bahagian pada 15 Ogos, persidangan Srikandi bahagian pada 16 Ogos manakala persidangan bahagian akan bermula pada 22 Ogos.

Katanya Perhimpunan Agung Tahunan parti akan berlangsung pada 27 Sept manakala Perhimpunan Agung Tahunan Armada dan Srikandi pula berlangsung serentak pada 26 Sept.

“Kalau ikut perlembagaan parti, tiada isu apabila seseorang itu meninggalkan parti (walaupun) sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK), saya sebagai ahli MPT akan memastikan lantikan baharu dibuat sebagaimana dibenarkan dalam perlembagaan parti,” katanya di sini, hari ini.

Encik Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan parti ekoran tindakan beberapa pemimpin termasuk ketua bahagian dan AJK keluar parti dipercayai mahu menyertai parti baharu ditubuhkan Dr Mahathir yang merupakan bekas pengerusi dan antara pengasas Bersatu.

Beliau berkata mereka yang bertindak sedemikian merupakan golongan terpencil dan tidak menjejaskan kelangsungan parti.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan