Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bersatu akan sertai Muafakat Nasional, kata PM M'sia Muhyiddin

Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin.

Anggaran Waktu Membaca:
Bersatu akan sertai Muafakat Nasional, kata PM M'sia Muhyiddin

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Aug 2020 02:23PM Dikemas Kini : 15 Aug 2020 02:26PM

KUALA LUMPUR: Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin.

Encik Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, PAS dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita,” kata Encik Muhyiddin dalam perutusan bersempena persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020 yang berlangsung pada Sabtu (15 Ogos).

Perutusan tersebut dimuat naik melalui sebuah video di laman Facebook rasmi Encik Muhyiddin hari ini.

“AKAN MEWUJUDKAN KESTABILAN POLITIK NEGARA”

Pemilihan Bersatu hari ini membuka tirainya membabitkan sayap Armada, diikuti Srikandi esok manakala pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi pula akan berlangsung semasa persidangan peringkat bahagian yang dijadualkan 22 Ogos ini.

Encik Muhyiddin yang juga pemangku pengerusi parti, menegaskan beliau sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti seperti UMNO, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Jelasnya, beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan itu yang antara lain akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bersatu dan parti-parti rakan yang lain dalam Perikatan Nasional.

“Insya-Allah, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

KEKAL PADA PERJUANGAN ASAL PARTI

Dalam video sepanjang 15 minit itu, Encik Muhyiddin turut mengingatkan ahli parti agar meneruskan dan mempertahankan perjuangan walaupun ada pemimpin terdahulu seperti bekas pengerusi Dr Mahathir Mohamad yang memilih haluan lain.

“Dahulu Tun Mahathir bersama-sama dengan kita. Saya tidak boleh nafikan sejarah sumbangannya kepada parti kita. Saya hormat kepada beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepadanya.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tidak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

“Yang penting perjuangan parti ini mesti diteruskan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti mesti terus dipertahankan,” katanya sambil menegaskan yang beliau tidak mempunyai sebab untuk mengkhianati parti yang ditubuhkannya itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengingatkan akan kepentingan memperkukuhkan parti menerusi pertambahah ahli dan cawangan di setiap bahagian agar terus menjadi sebuah parti yang penting dan berpengaruh di persada politik tanah air.

“Kita mesti jalan terus. We must move on. Jangan kita berpaling ke belakang. Teruslah mara ke depan. Apa yang ada di depan kita mesti kita hadapi dengan tabah.

“Dalam tempoh empat tahun ini (sejak Bersatu ditubuhkan), jumlah keahlian parti kita telah mencecah lebih 420,000 orang di seluruh negara. Kita juga telah menubuhkan 197 bahagian dan 2,950 cawangan yang berdaftar. Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Menyentuh mengenai pemilihan parti, Encik Muhyiddin yang menang tanpa bertanding jawatan presiden parti berkata kalah menang adalah adat resam pertandingan yang seharusnya dibuktikan menerusi keikhlasan dalam perjuangan demi parti malah turut mengingatkan bahawa jawatan yang dipegang adalah amanah yang mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan